Ahli parlimen Batu, Tian Chua adalah nama yang tidak asing lagi di persada politik tanah air. Beliau amat dihormati oleh sesama anggota Pakatan Rakyat dan digeruni oleh parti lawan. Naib Presiden PKR ini tidak pernah berundur biar pun pernah ditahan ISA selama dua tahun. Ikuti temubual Suarapakatandaily (SP) bersama beliau.
SP: Bagaimana YB melihat perkembangan terkini di mana tunggak utama yang memenangkan Pakatan Rakyat (PR) dalam PRU 2008 lalu, para bloggers mula menurun keyakinan terhadap beberapa polisi PR
Tian: Bloggers dan pelbagai pihak yang indipenden ada pandangan masing-masing. Ini adalah kekuatan kita kerana kita sentiasa dengar teguran dari mereka yang lantang mengkritik. Mereka berhak untuk memberi pendapat. Kita cuba laksanakan. Memang kita akui ada kelemahan dan perkara itu akan sentiasa kita perbaiki. Saya faham ada NGO dan bloggers ingin perubahan lebih cepat tetapi kita dalam parlimen atau Kerajaan Negeri ada batasan tertentu yang di luar kawalan. Kita bukan tidak laksanakan, hanya kita ambil masa. Saya harap mereka akan terus sokong kita supaya perubahan boleh diteruskan.
SP: Pihak dalam dan luar negara mengkritik perbicaraan Anwar Ibrahim. Adakah YB melihat ia akan memberi kesan kepada PRU akan datang
Tian: Saya nampak trend kesedaran rakyat semakin ketara. Kita tidak boleh memperkecilkan kebijaksanaan mereka untuk menilai sesuatu dasar. Kita percaya rakyat Malaysia tidak akan ketinggalan dalam perkembangan demokrasi yang merupakan arus perdana dunia. Saya nampak dalam PRU akan datang peluang untuk merubah kerajaan cerah dan kita harus berusaha menjadikan perkara itu realiti.
SP: Baru-baru ini Malaysia jatuh lagi dalam Indeks Kebebasan Media Dunia ke kedudukan 141. Bagaimanakah PR menangani isu ini
Tian: Itu sudah dijangkakan. Kerajaan cuba dengan taktik lama menyekat informasi dan mengelirukan rakyat. Itu taktik yang telah terbukti tidak berjaya.
Dalam PR, kita akan buat dasar alternatif terhadap media. Sebagai contoh, negeri Selangor dan akan diikuti Pulau Pinang serta negeri lain yang diperintah PR akan menggubal Akta Kebebasan Informasi. Akta itu bukan sahaja mampu mempertingkatkan ketelusan dan kecekapan perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri, pada masa yang sama ia juga akan memberi tekanan kepada kerajaan BN bahawa PR menghormati kebebasan informasi, oleh itu kita cabar mereka untuk melakukan perkara yang sama.
SP: Apa komen YB mengenai perjalanan ekonomi negara pada tahun 2011 ini. Adakah semakin baik atau sebaliknya
Tian: Pada saya Menteri Kewangan Najib Razak tidak begitu berani membawa perubahan. Beliau lebih berminat menggunakan pelbagai slogan seperti 1Malaysia, Tranformasi Ekonomi (ETP) dan sebagainya. Tetapi itu lebih kepada kaedah perhubungan awam untuk menaikkan imej. Dari segi strategi perlaksanaan beliau tidak membawakan apa-apa idea yang original. Itu sebabnya dalam pentadbiran ekonomi Najib kembali kepada jalan yang dimulakan oleh Dr Mahathir iaitu projek mega, bantu kroni dan memperbesarkan peranan kerajaan dalam pasaran. Dari segi ekonomi dasar seperti itu tidak membantu untuk menyediakan suatu sistem dan institusi yang boleh membenarkan ekonomi kita berkembang.
Sebagai contoh, Bajet 2011 melebihi amalan yang dilakukan Dr Mahathir ketika menjadi Menteri Kewangan dahulu. Zaman Dr Mahathir bajet pengurusan melebihi dua kali ganda peruntukan pembangunan. Sebelum era beliau jumlah bajet pengurusan dan pembangunan hampir seimbang. Tetapi Najib menaikkan bajet pengurusan kepada 3 kali ganda, hanya 1/3 daripada keseluruhan bajet diperuntukan untuk pembangunan. Ini perkembangan merbahaya.
Kita negara membangun, pelaburan pembangunan sepatutnya diutamakan. Apa yang berlaku ialah kerajaan meluaskan birokrasi dan tidak memberi cukup peruntukan untuk pembangunan masyarakat. Kalau kita lihat ekonomi dunia yang belum sepenuhnya pulih, kita seharusnya memotong pembaziran dan perbelanjaan besar birokrasi yang tidak mendatangkan untung kepada negara.
SP: Bagaimana bajet negara akan disusun jika PR memerintah, adakah akan mencontohi polisi berkebajikan seperti di Selangor
Tian: Memang kebajikan satu teras yang penting dalam perlaksanaan dasar ekonomi. Kebajikan bukan hanya untuk jaga orang miskin. Kebajikan satu strategi untuk membangunkan ekonomi seluruhnya.
Banyak potensi individu yang tidak dapat dikembangkan kerana mereka telah dinafi peluang. Orang hendak buat bisnes tak cukup modal kita perlu bantu. Orang yang hadapi kemalangan, kalau hilang kerja kita perlu beri bantuan supaya mereka boleh tetap sertai proses pembangunan masyarakat dan negara. Kita tidak boleh nafikan potensi mereka begitu sahaja.
Dengan jaringan keselamatan sosial yang lebih baik orang akan menjadi lebih yakin dalam masyarakat. Ini akan mengurangkan ketegangan dalam masyarakat serta mengurangkan jenayah akibat tekanan hidup. Kalau kita boleh uruskan strategi ekonomi berkebajikan, ia sebenarnya akan mendorong kepada perkembangan ekonomi yang lebih mampan bagi seluruh rakyat.