Tahun ini merupakan tahun ke-3 Adun dan ahli parlimen mengisytiharkan harta mereka kepada rakyat. Perisytiharan harta adalah amalan biasa kepada ahli politik di negara maju bagi mengelakkan tuduhan penyelewengan, cuma di negara ini ia cuba dielakkan oleh kebanyakan ahli politik Barisa Nasional kerana banyak dari mereka yang menyeleweng.
Majlis Pengistiharan harta kali ini diadakan di kawasan DUN Kota Damansara pada jam 11 pagi. Antara pemimpin PSM yang mengistiharkan harta ialah Dr. Jeyakumar Ahli Parlimen Sg. Siput, Dr. Nasir Hashim ADUN Kata Damansara, Sdr. Arutchelvan Ahli Majlis MPKJ dan Sdr. Sivarajan Ahli Majlis MBSA.
Majlis dimulakan dengan pengenalan dan imbasan aktiviti PSM setahun yang lepas iaitu dari Mac 2010 hingga Mac 2011 oleh Arutchelvan.
“Dalam setahun lepas PSM telah mendapat pelbagai kejayaan seperti menghentikan pindaan Akta pekerja, kemenangan perumahan di beberapa ladang dan kampung serta kempen-kempen nasional seperti Anti Cukai GST , Bantah kenaikan harga barangan, Anti FTA, Bantah penswastaan perkhidmatan awam dan banyak lagi dalam membina kuasa rakyat di bumi Malaysia,” ujarnya
Kemudian Dr. Nasir telah membentangkan kad laporan aktiviti di DUN Kota Damansara setahun yang lepas. Pelbagai aktiviti telah dijalankan dalam memperkasa penduduk di sekitar DUN Kota Damansara. Ia jelas terserlah dalam ucapan tiga orang wakil penduduk yang turut berkongsi pandangan mereka tentang kepimpinan Dr. Nasir di DUN
Seterusnya, Ahli Parlimen Sosialis Pertama Dr. Jeyakumar telah membentangkan kad laporan aktiviti di kawasan Parlimen Sg. Siput. Cukup memberangsangkan Dr. Kumar merupakan Ahli Parlimen pertama yang telah menyaman kerajaan Malaysia kerana tidak memberi peruntukan pembangunan untuk Ahli Parlimen pembangkang.
Walaupun tiada dana peruntukan, ia tidak sekali menghentikan usahanya membina kuasa rakyat di Sungai Siput. Pelbagai kejayaan telah dicipta walaupun tiada peruntukan. Satu kejayaan yang perlu dibanggakan adalah Titi gantung rakyat untuk masyarakat orang asli di Perjek, Sungai Siput. Dr. Kumar telah menyumbangkan sendiri 30% daripada gaji Ahli parlimennya iaitu sebanyak RM30,000 untuk pembinaan titi gantung ini yang telah mencecah lebih RM80, 000 dengan menggunakan bantuan penduduk sekitar menjayakan projek ini.
Selepas pembentangan kad laporan ADUN dan Ahli Parlimen, upacara pengistiharan harta telah dijalankan termasuk dua orang Ahli Majlis turut mengistiharkan harga mereka.