Meskipun dalam keadaan serba kekurangan tanpa peruntukan dana yang mencukupi Parti Keadilan Rakyat Cabang Rembau sejak beberapa tahun lalu telah berjaya melaksanakan program bantuan kembali ke sekolah.
Bermula Disember 2008 seramai 150 murid sekolah dibantu dengan pemberian pakaian sekolah baru, tahun kedua 276 orang dibantu dengan pemberian peralatan sekolah. Manakala tahun ini seramai 47 orang diberi bantuan wang tunai dengan harapan mampu meringankan beban ibu-bapa dalam membayar yuran sekolah.
Menurut Ketua Cabang Rembau Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard program itu diadakan khusus bagi membantu para ibu-bapa yang kurang berkemampuan dalam menyediakan persiapan terbaik bagi anak-anak mereka yang memulakan hari baru persekolahan.
“Dana dikumpulkan dari sumbangan jawatankuasa PKR Rembau termasuk sumbangan orang ramai. Kami membantu sekadar yang termampu.
“Kami tidak ada media untuk hebohkan apa yang kami lakukan. Kami tak ada duit zakat Baitulmal atau wang Kementerian untuk diagih. Sumber kami terhad maka kami juga mengelak dari bermegah ketika sampaikan bantuan,” katanya.
Selain itu, menurut Chegu Bard, PKR Rembau juga pernah membantu membina kemudahan awam dan bantuan kepada pesakit. Semua itu dilakukan dengan tidak pernah mengharapkan publisiti kecuali atas dasar meringankan beban sesama manusia.
“Alhamdullilah, atas sumbangan orang ramai kami tidak henti membantu. Kami pernah buat rumah warga emas, bina hentian bas, beli kerusi roda dan bantuan bagi hari perayaan,” ujarnya.