Oleh: Selena Tay
Pakatan Rakyat baharu semakin hampir menjadi realiti. Ahli parlimen Shah Alam berkata, PR baharu itu kelak akan memperjuangkan dengan lebih tegas isu GST dan pemberian semula subsidi minyak kepada rakyat Malaysia.
Beliau berkata lagi, senario politik terkini mewajibkan PR untuk bangkit semula sebagai kuasa pengimbang dan kuasa pemantau terhadap tingkah-laku kerajaan BN yang semakin tidak tentu arah.
“Pakatan Rakyat yang baru akan lebih serasi dengan hala tuju yang sama (seperti sebelumnya) untuk mewujudkan sebuah kerajaan pusat yang prihatin terhadap nasib golongan rakyat biasa, terutamanya warga marhaen dan yang berpendapatan rendah,” kata Khalid kepada Suarapakatandaily.
Beliau berkata, jika Pakatan Rakyat mengambil-alih kerajaan pusat, GST akan ditangguhkan sehingga Malaysia mencapai tahap negara maju dengan semua golongan rakyat mempunyai pendapatan tinggi sebelum diperkenalkan semula.
Selain itu, Khalid juga memberitahu subsidi minyak akan disambung bagi mengekang kenaikan harga runcit bahan api tersebut. Justeru itu, beliau berharap rakyat tidak akan terpedaya lagi apabila tiba masa pilihan raya umum nanti.
Sementara itu, seorang lagi ahli parlimen DAP yang enggan nama disiarkan mengesahkan PR baharu akan dilancarkan tidak lama lagi bagi menampung lompang kuasa yang ditinggalkan akibat krisis DAP dan PAS.
“Pakatan Rakyat yang lama sudah tamat riwayatnya. Pakatan Rakyat baru akan muncul selepas Hari Raya Aidil Fitri ini. Kita mesti rela pandang ke depan dengan wawasan yang baru.
“Jangan hanya pandang ke belakang kerana kita akan ditenggelamkan oleh arus deras yang sedang berlaku dalam dunia politik terkini,” katanya.