Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menggesa semua parti dalam Pakatan Harapan (PH) untuk melupakan permusuhan silam antara mereka dan memfokuskan usaha menggulingkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), beberapa minit selepas gabungan itu menamakan beliau sebagai calon perdana menteri mereka.
“Bila kita utamakan sesuatu, kita harus lupa yang lepas kerana dia akan ganggu usaha kita untuk menjayakan perjuangan itu,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH 2018 hari ini.
Bekas perdana menteri itu dipilih sebagai calon perdana menteri PH, manakala Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan dibebaskan dari penjara pada Jun nanti sebagai perdana menteri ke-8.
“Terima kasih terutamanya mencalonkan saya. Umur 92 tahun tak lama. Tapi setakat ini boleh, akan cubalah dengan sokongan dari rakan-rakan yang ada,” kata Dr Mahathir.
Dalam ucapannya yang banyak kali diganggu sorakan hadirin, Dr Mahathir berkata, tidak mudah untuk menyertai pembangkang yang “dahulunya tidak senang dengan saya”.
“Tapi oleh kerana usaha untuk jatuhkan Datuk Seri Najib Razak lebih utama dari perasaan-perasaan saya yang lain, maka saya sanggup kerjasama dan dengar kecaman-kecaman terhadap parti saya dulu.”
Beliau mengakui masih ada individu dalam kalangan pembangkang yang menggelarnya “Mahazalim”, nama yang diberikan kepadanya oleh penyokong pembangkang pada kemuncak protes reformasi pada akhir 1990-an.
“…ia tidak patut dijadikan halangan untuk kerja besar kita. Kerja besar kita selamatkan negara tercinta.
“Seperti saya sebut, bukan mudah bagi parti dulu yang (merupakan) seteru saya terima saya. Tapi alhamdulillah mereka sedar pentignya kerajaan sekarang dijatuhkan.”
Pengerusi PPBM itu turut mengakui tidak mampu menjatuhkan parti kesayangan hampir 60 tahun secara bersendirian.
“Tapi saya akui parti sudahpun ke jalan salah. Oleh itu, walau sayang atau tak sayang, saya perlu berjuang untuk jatuhkan parti saya sendiri.
“Kalaupun saya tubuh parti bersendirian dan cuba jatuhkan Umno dan BN, saya sedar saya tak mampu jatuhkan parti yang dah seleweng ini. Maka saya ketepikan perasaan saya, ke musuh-musuh saya yang mengecam saya selama saya jadi perdana menteri dan presiden Umno.” – FMT