Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak tahu tentang laporan mengenai penglibatan hartawan Tan Sri Vincent Tan dan T7 Global Bhd dalam projek Kereta Api Pantai Timur (ECRL).
“Saya tidak tahu mengenainya. Saya tidak boleh memberi komen. Anda harus bertanya kepada Vincent Tan,” kata beliau pada sidang media hari ini ketika diminta mengulas sama ada kerajaan akan mempertimbangkan semula untuk meneruskan projek ECRL kerana penglibatan Vincent Tan.
Dr Mahathir berkata beliau ‘ok’ dengan rancangan untuk membina landasan kereta api tetapi menegaskan bahawa kosnya perlu dikurangkan dan sebab itulah kerajaan sedang merundingkan semula dengan kerajaan China mengenai perkara itu.
Beliau berkata terma-terma semasa yang dicapai oleh kerajaan sebelum ini tidak membawa apa-apa kebaikan kepada Malaysia yang antara lain adakah pembayaran harus dibuat tanpa mengambil kira kemajuan projek.
“Semua syarat ini perlu dirundingkan semula, dan jika kita memperoleh syarat yang lebih baik, sudah tentu kita akan meneruskannya tetapi kita berharap untuk mengurangkan banyak kos memandangkan banyak salahlaku telah dilakukan.
“Contohnya, meminjam RM55 bilion dari China, kita berpendapat ia tidak harus melibatkan kos yang begitu tinggi. Syarat itu ialah kontrak yang diberikan kepada syarikat dari China, menggunakan pekerjanya sendiri, membawa semuanya dari sana. Jadi apa yang Malaysia dapat. Kita mahu mendapatkan sesuatu untuk Malaysia,” kata beliau seperti dilapor Bernama – MD