Tindakan kerajaan Kelantan memberikan cuti peristiwa untuk negeri itu pada 9 Dis ini dianggap tidak wajar oleh Anwar Ibrahim.
Presiden PKR itu berkata hal itu kerana kelulusan untuk cuti tersebut dibuat semata-mata untuk membolehkan penduduk negeri itu menghadiri himpunan di Kuala Lumpur.
“Saya tidak fikir wajar bagi cuti untuk demonstrasi,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.
Anwar yang juga anggota parlimen Port Dickson berkata demikian sebagai menjawab soalan media mengenai himpunan dijadual pada Sabtu ini di Kuala Lumpur.
PAS sudah mengerah anggota dan penyokongnya untuk menyertai himpunan tersebut, selain mengadakan siri ceramah jelajah bagi mempromosi program menyatakan kesyukuran atas penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).
Bagaimanapun salah seorang naib presiden mereka, Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan tidak akan menyertai himpunan tersebut kerana mengerjakan umrah.
Mohd Amar juga ialah timbalan menteri besar Kelantan.
Imej yang tular di media sosial pula menunjukkan salah seorang anggota Jawatankuasa Pusat PAS mengadakan kenduri perkahwinan anaknya pada hari berkenaan.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan kesahihan mengenai gambar jemputan kahwin berkenaan daripada anggota parlimen terbabit.
Untuk rekod cuti hujung minggu bagi Kelantan dan Terengganu ialah pada Jumaat dan Sabtu. – mkini