Ada penduduk di Ampang yang terpaksa makan biskut kering kerana tidak mempunyai wang untuk makan diluar berikutan masalah bekalan air berlarutan di Ampang, kata Ahli Parlimennya, Zuraida Kamaruddin.
“Ada yang hanya makan biskut kering kerana tidak mempunyai wang untuk makan diluar,” kata Zuraida pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN, hari ini.
Justeru, Zuraida memohon kerajaan Selangor mengeluarkan dana kemanusiaan dari peruntukan khas membantu meringankan beban penduduk terutamanya yang tinggal di kawasan perumahan kos rendah.
“Mulai hari ini juga, kita akan mula edarkan makanan di kawasan perumahan klat kos rendah kerana mereka tidak dapat memasak,” katanya kepada pemberita.
Tambahnya, janji Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menyelesaikan masalah dalam lima hari mulai Jumaat lalu hanya omong kosong.
“Sudah 10 hari (dari hari pertama masalah air). Kemudian, lori bekalan air tak cukup untuk seluruh kawasan MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya)
“Saya juga ingin bertanyakan pampasan yang akan diberi Syabas kepada penduduk terlibat yang ramai tergolong dari mereka yang berpendapatan rendah kerana terpaksa makan diluar dan membasuh baju di dobi kerana tiada air dirumah.
“Sebagai wakil rakyat kita kena jelaskan kerana bertanggungjawab kepada rakyat di Ampang. Kami tertekan dengan masalah hidup. Masalah air mengakibatkan masalah pengurusan keluarga dan makanan,” tegas Zuraida.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Zon 15 MPAJ, Ahmad Fauzi Mohd Khamis memberitahu lori bekalan air yang disediakan Syabas tidak cukup untuk menampung keperluan penduduk yang ramai seperti di Taman Dagang, Taman Cahaya, Taman Bakti, Pandan Utama dan Angsana Hilir.
“Kawasan flat paling terjejas. Syabas tak beri kerjasama. Penduduk menunggu giliran lori air ikut jadual, tapi tak sampai. Bayangkan kalau lori Syabas datang jam 2 atau 3 pagi, orang dah tidur,” katanya.