Pendakwaan terpilih kerajaan BN ke atas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng telah mengembalikan perpaduan dalam Pakatan Harapan (PH) yang dilihat goyah sejak Pas meninggalkan Pakatan Rakyat tahun lalu.
Kempen derma wang jaminan dan berjalan bersama Guan Eng dilihat telah berjaya membuka mata rakyat bahawa PH mempunyai sesuatu untuk ditawarkan dan masih kukuh mendepani ancaman BN.
“Kalau rakyat tidak sokong, mustahil untuk DAP mendapat derma sebanyak RM1 juta dalam masa 21 jam. Dulu pun Bersih (himpunan 29, 30 Ogos 2015) dapat lebih dari RM1 juta,” kata seorang penyokong PKR, Alan Hong, 35, mengulas kembalinya kekuatan semangat PH menghadapi BN.
Maria Wahab, seorang pengurus IT dan juga penyokong Amanah, 30-an, pula berkata masih terlalu awal untuk BN berkata sokongan telah merosot ke atas pembangkang walaupun kalah di dua pilihan raya kecil, Kuala Kangsar dan Sungai Besar.
“Sokongan besar untuk DAP (kes Guan Eng) menunjukkan bahawa PH masih mempunyai sokongan rakyat dan jika PM hendak mengadakan pilihan raya umum tahun ini, belum pasti BN akan menang besar.
“Pakatan mampu membina kekuatan, peristiwa sebegini akan membangunkan rakyat dari tidur,” kata Maria.
Seorang pelabur tempatan yang enggan namanya disiarkan berkata, suasana politik kebelakangan ini hanya membuat imej negara bertambah buruk dan jika pihak pembangkang ditekan dengan pendakwaan terpilih mungkin akan wujud ketidakstabilan politik sedikit masa lagi.
“Kita pelabur dan ahli usahawan sentiasa inginkan kestabilan politik. Apabila politik bergolak, maka ekonomi akan mendapat kesan tempiasnya dan ini bukanlah sesuatu perkara yang baik.
“Politik dan ekonomi selalu berkaitan antara satu sama lain. Kerajaan dan pihak pembangkang patut bekerjasama untuk kebaikan negara.
“Pihak BN juga jangan terlalu yakin akan menang dalam pilihanraya umum nanti kerana saya tahu ramai orang sokong Pakatan, cuma mereka ini tidak mengheboh-hebohkannya,” ujar beliau.