Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Tun Razak kini ‘tidak lena tidur’ mendengar kelantangan veteran Umno yang semakin kerap bersuara kebelakangi ini.
Kata beliau, setelah ‘dibelasah teruk’ isu Jho Low dan 1MDB oleh Penasihat Sosiobudaya kepada kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim kini muncul pula seorang lagi veteran, Tan Sri Rafidah Aziz yang juga mantan menteri Umno.
Jelasnya, kenyataan terbaru Tan Sri Rafidah Aziz dilihat bakal menimbulkan kegemparan dan perpecahan yang lebih dasyat dalam parti Umno.
“Dalam salah satu tulisannya di Facebook, bekas menteri kabinet itu menyatakan “tindakan memilih pemimpin yang rasuah itu samalah seperti membenarkan salah laku yang dilakukan ahli politik berkenaan”.
“Beliau juga memberi amaran bahawa rakyat Malaysia akan dianggap “bersubahat” dengan perbuatan rasuah dan pengkhianatan sekiranya pengundi secara sukarela mengundi ahli politik yang korup.
“Kenyataan beliau ditujukan secara umum, dan boleh jadi kepada sesiapa sahaja, tetapi rakyat pasti memahami kenyataan beliau ditujukan secara khusus memandangkan senario politik semasa di Malaysia,” kata beliau dalam kenyataan medianya semalam.
Kata Mahfuz, sifat ‘siapa yang pedas dengan memakan cili api’ sudah dapat dilihat apabila muncul ‘macai’ yang melenting setelah membaca kritikan Tan Sri Rais Yatim terhadap pemerintah kleptokrasi sebelum ini.
Rakyat tambahnya, akan dapat melihat pemimpin Umno seperti ‘cacing yang kepanasan’, marah-marah dan melenting dengan memberi kenyataan balas terhadap kenyataan Tan Sri Rafidah itu.
“Korup dan rasuah seperti yang dinyatakan oleh Tan Sri Rafidah disinonimkan dengan parti Umno-Bn serta puak elit politik di negara ini.
“Tan Sri Rafidah Aziz menasihati rakyat agar jangan memilih parti tersebut dan kepimpinannya yang terbukti korup dan rasuah kerana ia bererti mereka bersubahat membenarkan salah laku pemimpin terbabit.
“Ini bermakna Tan Sri Rafidah juga sedar parti Umno dan pemimpinnya telah rosak teruk disebabkan rasuah atau korupsi yang membarah.
“Justeru beliau mengingatkan rakyat agar menolak parti tersebut dan kepimpinannya.
“Biarlah PRU14 nanti parti Umno-BN dan parti-parti yang mahu bekerjasama dengannya jatuh dihukum rakyat yang sayangkan tanah air ini,” kata beliau.
Ujarnya lagi, Tan Sri Rafidah Aziz adalah pemimpin besar Umno di zamannya. Beliau bergelumang dengan parti tersebut dan jatuh bangun dengan parti beliau sejak dahulu sehingga sekarang.
Mustahil beliau tidak sayangkan Umno dengan kenyataan sinikal seperti itu, katanya.
“Sukar menerima kenyataan beliau dan lain-lain pemimpin veteran jika mereka mahu mengkhianati perjuangan mereka selama ini.
“Namun, bagi Tan Sri Rafidah mungkin ada sesuatu yang beliau nampak tidak kena, maka beliau terpaksa memperli, mengata, menyindir serta sinis secara halus atau kasar terhadap elit politik yang dilihat telah jauh tersasar membawa haluan negara ini untuk ‘kenyang perut sendiri’.
“Beliau kini mulai merasai ‘denyut nadi rakyat’, dan memahami keluhan rakyat marhaen serta mengerti semua keperitan itu.
Di samping itu beliau juga tahu asal usul terjadinya masalah korup ini sehingga nama Malaysia menjadi buruk dan busuk di serata dunia,” kata beliau.
Keterdesakan itu kata Mahfuz, memaksa beliau bersuara lantang menegur dan menasihatkan segelintir pihak yang keterlaluan dalam memerintah negara ini. – MD