Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang baharu sahaja melabuhkan tirainya telah memberikan gambaran jelas bahawa walaupun sokongan untuk Perdana Menteri, Najib Tun Razak kelihatan baik namun parti itu pada garis bawahnya telah berpecah kepada dua kumpulan, Team A dan Team B.
Mengulas mengenai situasi tersebut, Ketua Komunikasi Parti Amanah Negara Ir Khalid Samad berkata, perpecahan Umno kini telah menghampiri krisis politik 1987 dahulu, apabila pasukan Naib Presiden Umno Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) mencabar kepimpinan PM Dr Mahathir.
Cuma, katanya, keadaan kali ini sedikit berbeza apabila Dr Mahathir bergabung dengan Ku Li dan Timbalan Presiden Muhyiddin Yassin menentang Najib.
“Nampak jelas Umno sudah ada Team A dan Team B. Ramai ahli parti itu cenderung menyokong Team A dan kurang yang berani menyokong Team B.
“Pada bacaan saya, situasi ini akan berterusan sehingga ke Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14. Oleh itu, rakyat harus bijak menilai sebelum mengundi. Umno dan BN adalah perikatan politik yang tidak stabil menjelang PRU depan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya lagi, media arus perdana cuba sedaya upaya hanya memfokuskan kelemahan Pakatan Harapan dan hal-hal yang kononnya perpecahan pembangkang sahaja.
“Walaupun media arus perdana tidak melaporkan tentang wujudnya dua puak dalam Umno, namun hakikatnya ia wujud. Rakyat mestilah melihat kewujudan dua puak ini. Umno telah berpecah-belah tetapi rakyat hanya dipropagandakan kelemahan Pakatan sahaja,” ujar Khalid.
Beliau turut mengkritik PAU yang baharu selesai sebagai tidak prihatin kepada penderitaan hidup rakyat kerana hanya tertumpu kepada penjelasan mengenai dana RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib dan krisis dalaman parti sahaja.
“Tiada keputusan dibuat oleh Umno untuk menurunkan harga barang atau kos sara hidup.
“Bukankah ini membuktikan betapa tidak prihatinnya Umno terhadap nasib rakyat yang sedang bergelut dengan kenaikan kos?” sinisnya.
Khalid juga berkata, kuasa mutlak dalam tangan BN yang diperolehi melalui PRU lalu menyebabkan kehidupan rakyat semakin susah. BN menaikkan caj dan harga dari kadar tol sehinggalah ke barangan dapur.