Parti pembangkang akan mengadakan sidang video langsung untuk pemimpin yang dihalang memasuki Sarawak berdialog dengan pengundi, bagi membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11.
Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai yang dipetik China Press berkata, walaupun ramai pemimpin parti itu yang dilarang menjejakkan kaki ke Sarawak, tetapi aktiviti-aktiviti bersama pengundi yang dirancang sebelum ini tetap diteruskan mengikut jadual dengan menggunakan kaedah sidang video langsung itu.
Jelasnya, beliau akan pergi ke Bintulu hari ini, bagi membantu kempen PRN Sarawak.
“Kami masih ada ramai pemimpin yang boleh pergi ke Sarawak. Sekalipun tidak dapat masuk ke Sarawak, masih ada ramai ahli DAP boleh bantu kempen PRN, kami juga akan fikirkan cara-cara lain untuk bantu kempen di Sarawak,” katanya kepada akhbar berbahasa Cina itu semalam.
Sementara itu, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, parti itu telah menghantar semua ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri ke Bumi Kenyalang, namun mereka yang dilarang memasuki Sarawak terdiri daripada ahli parlimen penggal lalu.
Sehingga kini, lima ahli parlimen daripada DAP dilarang ke Sarawak dan beliau tidak menolak kemungkinan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan setiausaha agung parti itu, Lim Guan Eng yang dibenarkan masuk ke Sarawak ketika ini, akan disekat pada kali kedua mereka ke negeri itu.
Bagaimanapun, katanya, DAP telah memikirkan jalan penyelesaian, jika perkara itu berlaku.