Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib mengandaikan BN akan kalah teruk di Pilihan raya Kecil (PRK) Sungai Besar berdasarkan pada situasi semasa dan juga isu-isu di Selangor.
Beliau menjangkakan calon daripada Parti Amanah Negara (Amanah) akan diletak untuk berdepan dengan calon Barisan Nasioal (BN).
Calon ini akan mewakili Pakatan Harapan dan pertembungan ini nanti akan dilihat sebagai pertembungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan Pusat
Beliau berkata, meskipun Amanah masih baharu dan kawasan itu pula dilihat kawasan yang didominasi oleh Pas sebagai parti pembangkang yang terkuat, pakatan pembangkang dilihat lebih cenderung untuk meletakkan calon daripada Amanah.
“Pas kini bukan lagi anggota pakatan meskipun Sungai Besar kubu kuat parti itu. Jika Amanah bertanding, saya andaikan Pakatan Harapan akan lebih mendokong parti berkenaan berbanding Pas.
“Pas mungkin akan berhadapan dengan pertembungan hebat daripada Pakatan Harapan terutama Amanah yang ramai melihat sebagai proksi DAP,” katanya seperti dipetik Sinar Online.
Beliau berkata, faktor kerjasama antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Pakatan Harapan menerusi Deklarasi Rakyat juga menambah lagi kebarangkalian kekalahan BN di kerusi berkenaan.
“Pakatan Harapan (dijangka) akan cuba meminggirkan Pas dalam pakatan dan bekerjasama dengan Tun Mahathir bagi menewaskan BN.
“Kerjasama mereka itu dijangka akan lebih mengganas menjelang PRK di Sungai Besar nanti,” katanya.
Md Shukri berkata, BN perlu ketengahkan calon berwibawa dan dihormati ramai untuk merealisasikan peluang mereka.
“Soal populariti calon dan kewibawaan penting pada PRK kali ini.
“Jangan hanya ambil kira soal jawatan dalam Umno bagi seseorang calon tapi fokus pada soal calon kerana ia akan menjadi faktor yang menambat hati penduduk atau pun tidak,” katanya.
Pada PRU13, wakil BN, Datuk Noriah Kasnon menewaskan calon Pas, Mohamed Salleh M. Husin dengan majoriti 399 undi.
Noriah, yang meninggal dalam tragedi helikopter 5 Mei lalu, juga memenangi kerusi itu pada PRU 2004 dan 2008.