Menjelang hari pengundian esok, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu memberitahu sokongan pengundi terhadap calon Pakatan Harapan kini melepasi 50 peratus mendahului calon Barisan Nasional (BN) dan Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
“Kita harap menang sahaja, sekarang ni 55/45 peratus, BN dibelakang kita, Pas dah jauh kebelakang.
“Kalau kita menang, Amanah akan teruskan keyakinan politik di kalangan pengundi dan penyokong baru yang akan menambah bilangan ahli kita kelak,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline.
Beliau ditemui ketika menghadiri siri Kempen Tun Mahathir bersama grup Deklarasi Rakyat di Tali Air Lapan, Sekinchan pagi tadi.
Dalam kempen yang berbaki hanya sembilan jam lagi sebelum malam ini, Pakatan Harapan katanya akan terus berkempen seperti yang telah dijadualkan.
“Daripada hari penamaan calon kita (Amanah) hanya underdog, orang lihat calon kita terkebawah kerana Amanah parti yang belum lagi setahun usianya.
“Bila bermula kempen kita tonjolkan calon Amanah di Sungai Besar dan Kuala Kangsar dengan kerja keras dalam kempen sudah nampak sokongan itu.
“Esok nak mengundi harapan kita begitu memberangsangkan untuk memotong BN kali ini di dua PRK,” ujarnya.
Mohamad mengakui kekuatan calon Amanah kerana kerjasama semua pihak terutama daripada NGO dan penyokong Deklarasi Rakyat.
“Provokasi mengenai calon Amanah itu perkara biasa. Dalam keadaan BN yang terdesak mereka boleh provok apa saja, kerana mereka anggap polis tidak akan menunjukkan sikap yang adil.
“Jika kami yang buat (provokasi) sama seperti mereka buat sudah ramai yang masuk dalam lokap sepanjang tempoh kempen ini,” ujarnya. malaysia dateline