Semua parti pembangkang diharapkan agar tidak meletakkan sebarang pra-syarat dalam mengusahakan kerjasama baru pembangkang menghadapi BN, kerana ia hanya akan membantutkan usaha tersebut.
Malah tindakan meletakkan agenda parti yang bertentangan dengan parti lain sebagai perkara utama akan menyebabkan pembangkang ‘tidak akan ke mana’, kata Naib Presiden PKR Tian Chua.
“Tidak boleh letakkan apa-apa pra-syarat sebelum duduk semeja, sama ada mahu menegakkan hudud mahu pun (negara) sekular. Ini tidak membantu keadaan.
“Masing-masing perlu akui realiti politik di Malaysia bahawa pembangkang perlu bersatu untuk melawan BN,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata lagi, sebarang bentuk kerjasama boleh dicapai melalui rundingan yang dijalankan secara ikhlas dan dengan pendekatan ‘mengenepikan kepentingan tunggal parti masing-masing’.
“Jangan jadikan pra-syarat sebagai halangan untuk duduk semeja,” kata Ahli Parlimen Batu itu lagi.
Cadangan agar semua pembangkang untuk kembali bekerjasama dibincangkan selepas kekalahan PAS dan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar dengan jurang undi yang melebar.
Malah ada pihak yang mengatakan usaha Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang cuba mencapai persetujuan dengan PAS sebelum PRK berlangsung sebagai pendekatan yang tepat.
Tian Chua berkata, PKR sememangnya sejak dari awal konsisten menegaskan betapa perlunya perpaduan parti-parti pembangkang.
Beliau berkata lagi, sepanjang 50 tahun politik negara jelas menunjukkan pembangkang akan mencapai kemenangan yang lebih baik apabila membentuk gabungan.
“Sama ada Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif sehinggalah kepada Pakatan Rakyat. Dan apabila gabungan berpecah, BN sentiasa akan meraih kembali sokongan. Bukankah ini sudah jelas?” katanya lagi.
Menurut laporan Sinar Harian 22 Jun lalu, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan PAS akan terus berusaha mengukuhkan ‘blok ketiga’ bersama Ikatan, dan tidak akan menyertai pakatan pembangkang bersama Amanah dan DAP.
Namun beliau juga akui keperluan untuk parti-parti pembangkang bekerjasama dengan mekanisme baru dan bukan dalam bentuk gabungan.
Di sebelah DAP pula, pemimpin besarnya Lim Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini berkata persetujuan untuk ‘berlawan satu lawan satu’ bukanlah ubat mujarab menewaskan BN selagi pembangkang tidak memiliki rangka dasar bersama.
Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaaan Liew Chin Tong pula menyifatkan kerjasama baru pembangkang kini bergantung sama ada PAS komited dengan agenda dan politik progresif Pakatan Harapan.
Justeru Tian Chua sekali lagi menggesa semua parti pembangkang untuk kembali duduk semeja dan bekerjasama menentang BN.
“Tidak perlu eksperimen sama ada pembangkang mampu tewaskan BN melalui tiga penjuru atau tidak. Kalau masing-masing terus dengan ego, rakyat sendiri akan bosan dan tidak memberikan sokongan lagi,” katanya.