Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mengalu-alukan tawaran genjatan senjata yang diumumkan oleh Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau dalam satu kenyataannya berkata, tawaran itu boleh menjadi titik permulaan kepada hubungan baharu antara Pakatan Harapan dan Pas menjelang pilihan raya umum (PRU) ke 14.
“Saya menyambut baik dan bersyukur dengan pandangan tersebut. Jika pandangan itu boleh diterjemahkan menjadi titik mula kepada perbincangan lanjut untuk mencari kebersamaan di antara parti-parti pembangkang dalam melawan Barisan Nasional, itu adalah hadiah terbaik untuk rakyat kebelakangan ini.
“Saya sangat bersetuju supaya satu “gencatan senjata” boleh dilaksanakan secepat mungkin bukan sahaja oleh pimpinan parti-parti pembangkang agar tidak menyerang sesama sendiri; tetapi ia perlu juga dihormati dan dihayati oleh pendokong pembangkang hingga ke peringkat akar umbi.
“Seterusnya, ada baiknya sekiranya satu perjumpaan tidak rasmi boleh diusahakan untuk membincangkan langkah lanjut untuk mencari titik mula ini ke arah kebersamaan dalam melawan Barisan Nasional,” katanya.
Rafizi juga menyeru agar ahli bawahan Pas dan Pakatan Harapan agar kembali kepada persefahaman dan maufakat sebagaimana yang telah berlangsung selama kewujudan Pakatan Rakyat dahulu.
“InshaAllah, saya akan menunggu arahan selanjutnya dari Presiden KEADILAN dan Ketua Pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menzahirkan usaha-usaha mencari titik mula ini.
“Dari titik mula itu barulah boleh dibincangkan bentuk atau syarat atau pantang larang yang perlu diambil kira untuk memastikan kebersamaan itu menguntungkan rakyat keseluruhannya.
“Saya berharap sahabat-sahabat dan rakyat semuanya dapat mendoakan agar ada perkembangan baik menyambut pandangan yang diutarakan oleh Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man itu di dalam bulan Syawal yang mulia ini,” katanya.
Dalam kenyatannya pagi ini, Tuan Ibrahim berkata satu “gencatan senjata” di antara parti-parti pembangkang perlu dilakukan agar tidak menyerang sesama sendiri dan menghalakan serangan kepada Barisan Nasional sahaja.
Beliau juga membayangkan kesediaan Pas mencari titik pertemuan dan membina kebersamaan dalam perkara-perkara yang dipersetujui, sementara beberapa perbezaan dari segi perjuangan masing-masing parti dihormati agar landasan perjuangan parti-parti pembangkang tidak tergugat.