Kerajaan BN diingatkan agar tidak terus menekan rakyat daripada bertanyakan mengenai dana syarikat berkaitan kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang disiasat secara besar-besaran di Amerika Syarikat.
Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin berkata, kerajaan BN juga wajar menarik balik klasifikasi Akta Rahsia Rasmi (OSA) daripada dokumen Laporan Ketua Audit Negara supaya rakyat boleh mengetahui aliran sebenar kewangan 1MDB.
“Rakyat berhak menerima semua maklumat dan jawapan yang benar dari kerajaan berkenaan dengan isu 1MDB, tiada sesiapa yang boleh suruh rakyat jangan membangkitkan isu ini
“Ini isu wang rakyat, oleh itu rakyat berhak bertanya,” kata Nizar yang juga Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara Perak kepada Suara pakatan daily.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah Ir Khalid Samad memberi amaran kepada PM Najib agar tidak mengadakan pilihan raya umum awal bagi mengelakkan risiko kalah sebelum isu 1MDB menyebar dalam kalangan rakyat di luar bandar.
“BN jangan cuba adakan PRU14 pada masa isu 1MDB semakin mendidih. Semua pihak yang terlibat dalam isu 1MDB mesti menjawab dan jangan cuba cari jalan meloloskan diri,” sinisnya mengulas ura-ura pentadbiran Najib mungkin menimbangkan pilihan raya awal pada hujung tahun ini.
Pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada Disember ini merupakan satu pilihan untuk BN mengukuhkan posisi sebelum Pakatan Harapan mengambil kesempatan mengumpul lebih banyak sokongan berikutan suasana ekonomi negara yang dijangka muram pada 2017. Sekiranya BN menang lagi maka isu 1MDB akan ditenggelamkan seperti mana puluhan isu besar lain yang menghanguskan beribu-ribu juta wang rakyat sejak dua dekad kebelakangan ini.