Ratusan penyokong berkumpul di Dataran Merdeka malam ini bagi menyertai acara “vigil” mendesak pembebasan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah yang kini dalam tahanan polis.
Malah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut hadir ditemani isteri Tun Siti Hasmah Mohd Ali.
Hadirin mula memenuhi kawasan air pancuran di depan menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kira-kira 8 malam, dan bersurai 3 jam kemudian.
Naib Pengerusi (Pantai Barat) Bersih 2.0 Jay Jay Dennis berkata “vigil” akan diadakan setiap malam sehingga Maria dibebaskan, tanpa mengira sama ada pihak berkuasa membenarkannya atau tidak.
“Jika mereka tutup tempat ini sekali pun, kami akan berhimpun di kawasan berdekatan.
“Ini bagi mendesak pihak polis membebaskan Maria. Mereka melayan beliau seperti pengganas,” katanya ketika ditemui FMT di sini.
Maria ditahan ketika serbuan polis di pejabat Bersih pada 18 November lalu, sehari sebelum himpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).
Ia di sebalik jaminan kerajaan sebelum ini yang Sosma akan digunakan hanya untuk mengekang keganasan dan bukan menyekat perbezaan pandangan dalam politik.
Peguam Maria, Sivarasa Rasiah pada sidang media hari ini berkata beliau kini ditahan di kurungan berasingan di tempat yang tidak diketahui.
Dr Mahathir dalam ucapannya menyuarakan kesedihan apabila mendapat tahu “Maria kini dikurung di penjara”.
Beliau turut melaungkan “bebas Maria” bersama-sama hadirin yang lain.
Dennis berkata jika Maria tetap tidak dibebaskan selepas 28 hari (peruntukan tempoh tahanan di bawah Sosma), mereka akan mengadakan duduk bantah di Bukit Aman bagi mendesak pembebasan segera.
Beliau turut memaklumkan, ahli Parlimen pembangkang akan mengadakan perarakan dari Parlimen ke Bukit Aman pagi esok, selain membangkitkan isu ini ketika perbahasan.
“Ini antara usaha kita ke arah pembebasannya,” katanya.