Kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak supaya bertanggungjawab menangani kemelut ketirisan dan rasuah yang berlaku dalam pengurusan kontrak perolehan Felda seperti didedahkan Jabatan Audit Negara baru-baru ini.
Sejumlah RM148.42 juta kontrak perolehan Felda telah ditandatangani tanpa kebenaran tetapi pembayaran dibuat sedangkan serahan sepenuhnya tidak berlaku.
Demikian dinyatakan Ketua Penerangan Keadilan Pusat, Syed Ibrahim Syed Noh ketika mengulas lapuran ketirisan dan rasuah serta kelemahan tata kelola yang berlaku dalam Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sekarang.
“Sejumlah RM40.57 juta bagi 53 daripada 64 kontrak dengan Bumitouch Sdn Bhd telah dibuat walaupun serahan daripada LiDAR (light detection and ranging) tidak diterima sepenuhnya,” tegas beliau.
“Kegagalan penggunaan kaedah pemetaan jarak dan topologi melalui LiDAR telah menjejaskan proses penanaman semula pertanian di kawasan Felda,” katanya.
Tambah malang apabila pembayaran sejumlah RM40 juta dibuat tetapi kontrak bagi pelan tindakan projek jalur lebar yang sepatutnya dibuat Felda Prodata Sdn Bhd tidak tersedia.
“Bukan sahaja perkhidmatan jalur lebar tidak diperolehi malah dari tinjauan sebahagian besar kawasan Felda yang dilawati masih gagal menikmati liputan rangkaian telekomunikasi mudah alih dengan baik,” selar Syed Ibrahim.
Menurut beliau, keadaan ini mengakibatkan negara mengalami kerugian dalam bentuk kewangan dan ekonomi serta bebanan tanggungan rakyat terutamanya peneroka Felda semakin besar kerana kegagalan tersebut di samping hilang faedah penggunaan jalur lebar.