Ustaz Nik Nasri Nik Malek yang sebelum ini mendakwa pekikan “Jahanam PAN” hanya laungan sampingan bukannya ikrar kali ini tampil bersuara ekoran kejadian ribut di lokasi berlangsungnya Muktamar Tahunan Pas ke-63 di Kompleks Pas Kota Sarang Semut, Alor Setar.
“Tanpa perlu masa yang panjang, ia segera tular di media sosial. Mereka yang memang sakit hati dengan Pas, tanpa pertimbangan akal yang waras, terus menganggap ia bala kepada PAS.
“Allah menguji hamba-Nya dengan pelbagai ujian, sama ada hamba-Nya yang soleh atau tidak. Ribut adalah salah satu darinya.
“Mekah, khususnya Masjidilharam acapkali juga dilanda ribut. Adakah ia menandakan sesuatu yang buruk?” soalnya dipetik Malaysia Dateline.
Sementara itu, FMT melaporkan kira-kira 18 orang disahkan cedera selepas ribut melanda kawasan sekitar Muktamar PAS petang semalam yang merosakkan lebih 30 khemah jualan dan pameran.
Difahamkan, hujan lebat disusuli ribut kira-kira setengah jam kira-kira 7 petang menyebabkan beberapa khemah peniaga rosak.
Setiausaha Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamuddin ketika dihubungi FMT berkata, beberapa orang termasuk kanak-kanak mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Susulan insiden itu, program ceramah malam tadi di kompleks itu dibatalkan.