Bagi sesetengah orang, Dr Mahathir Mohamad mungkin masih diingati sebagai diktator, Mahafiraun. Tetapi selepas beberapa bulan dalam Pakatan Harapan (PH), satu gambaran tentang Dr Mahathir muncul – seorang demokrat.
Hari-hari di mana seorang pemimpin perkasa boleh berbuat saja disukai terhadap sekutu dan menekankan agendanya sendiri, seperti pada zaman Dr Mahathir mengetuai Umno dan Barisan Nasional (BN) selama 22 tahun, sudah berakhir, kata para pemimpin PH.
Mereka yang berkata demikian termasuklah orang seperti pemimpin Amanah, Khalid Samad yang pernah ditahan dengan Dr Mahathir dalam Ops Lalang pada 1987.
Tetapi dinamiknya sudah berubah antara pemimpin PH dan tokoh yang pernah mereka gelar Mahafiraun – merujuk kepada penguasa Mesir kuno yang kejam yang terakam sejarahnya dalam al-Quran dan kitab Injil.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight betapa dalam beberapa mesyuarat yang dipengerusikan Dr Mahathir, bekas perdana menteri itu sudah menerima falsafah wujud pakatan pembangkang itu yang setiap parti adalah sama.
Ada ruang cukup lapang untuk berbincang dan keputusan apabila dibuat, diterima semua pihak, kata pemimpin PH.
Keterbukaan ini dikukuhkan dengan tumpuan dan tenaga yang diberikan pemimpin berumur 92 tahun itu kepada pakatan berkenaan tatkala ia menuju ke Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pengalaman Dr Mahathir sebagai bekas perdana menteri turut mengangkat imej PH dalam kalangan orang Melayu Islam yang sebelum ini agak ragu-ragu dengan pembangkang, kata Khalid.
Walaupun pemimpin PH dan Dr Mahathir pernah berlaga angin, sejarah itu sudah mereka kuak ke tepi dan bersama merintis jalan mara ke hadapan dengan satu tujuan – jatuhkan BN dan Perdana Menteri Najib Razak dalam pilihan raya.
“Kami bukan membela beliau. Kami tidak lupa sejarahnya dan kami akan terus bersuara untuk membetulkan kesilapan lalu,” kata Rafizi Ramli, seorang lagi pemimpin PH daripada PKR.
“Tetapi saya tidak fikir ada ruang untuk melayan perasaan sendiri ketika masa kami juga bertanggungjawab untuk membawa perubahan kepada negara ini.”
“Kita mesti objektif. Ini bukan soal perasaan, tetapi apa yang sepatutnya dilakukan.”
Pada Julai, Dr Mahathir dilantik sebagai pengerusi majlis presiden PH. Majlis itu dianggotai para pemimpin kanan Bersatu yang diterajui Dr Mahathir bersama PKR, DAP dan Amanah.
Tidak seperti BN, yang mana pengerusinya merupakan ketua barisan, kepimpinan majlis PH itu dikongsi bersama antara pemimpin de facto PKR, Anwar Ibrahim dan presiden parti itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Prinsip kesamarataan antara semua parti dan peri pentingnya setiap orang bekerja bersama sebagai rakan kongsi adalah ciri-ciri yang membezakan PH dengan BN, yang Dr Mahathir sedang cuba terima, kata Rafizi.
“Beliau cuba menyesuaikan diri dengan keadaan yang kita ini riuh-rendah sendikit dalam PH. Kita berbeza pandangan tetapi menganggap beliau sebagai kawan,” kata naib presiden PKR itu yang kerap hadir dalam mesyuarat majlis presiden.
“Saya mungkin paling lantang tetapi beliau tidak mencelanya. Beliau sedar nilai yang saya ada dan beliau berlaku adil pada semua orang dan membenarkan semua orang bercakap.”
Walaupun selalu ada perbahasan dalam mesyuarat seumpama itu, Anthony Loke daripada DAP mengatakan, Dr Mahathir sebagai pengerusi dapat menyuntik disiplin yang membolehkan semua orang bersama-sama menyelesaikan urusan yang ada.
“Etika kerjanya bagus. Beliau tepat masa, sangat fokus dan mementingkan hasil,” kata setiausaha organisasi DAP itu.
“Beliau memberi ruang untuk orang suarakan pendapat, memberi pendapat beliau. Tetapi beliau tekankan kita semua mesti mencapai keputusan sebelum habis mesyuarat.”
Fokus ini juga ternampak secara terbuka, kata Khalid, apabila Dr Mahathir cuba mengalihkan perhatian daripada isu yang boleh menyebabkan pecah belah.
“Isu seperti calon perdana menteri, Kabinet bayangan, dan beliau beri kenyataan yang menarik balik perhatian kepada usaha menang pilihan raya,” kata ketua penerangan Amanah itu.
Satu hal yang tidak disengajakan dengan adanya Dr Mahathir dalam PH ialah bagaimana beliau cuba menukar budaya politik dalam kalangan anggota partinya sendiri dan Melayu Islam yang selama ini menyokong Umno, kata Khalid.
“Dalam ucapannya Dr Mahathir menegaskan tentang nilai kerjasama dan bekerjasama serta mengetepikan perbezaan,” jelas beliau.
Walaupun ramai yang menganggap Dr Mahathir bercakap tentang merapatkan gaung idelogi antara parti dalam PH, sasaran sebenarnya ialah bekas ahli Umno yang sudah terbiasa dengan cara Umno.
“Kerana ini bukan benda baru bagi kami dalam PH, kami sudah bertahun-tahun buat, tetapi ini benda baru bagi Bersatu,” kata Khalid.
Dalam barisan kerajaan, Umno bertanding jumlah kerusi yang besar pada setiap kali pilihan raya, menjadikannya sebagai sendi barisan.
Dalam PH, semua parti berkemungkinan akan dapat 50 daripada 222 kerusi Parlimen yang ada untuk bertanding sebagai rakan kongsi yang setara, jelas Khalid.
Bersama agenda reformasi PH yang Dr Mahathir suarakan kepada khalayak yang selama ini mengundi Umno, beliau menolong mengubah rentak politik di negara ini.
Janji untuk perubahan yang beliau canang itulah yang membolehkan pemimpin seperti Khalid menguis ke tepi sejarah yang pernah mereka hadap bersama Dr Mahathir.
“Kalau beliau bantu ubah budaya politik negara ini, kami sedia mengetepikan apa saja dendam peribadi yang ada.” – TMI