Kerana menghormati pendirian Pas yang sensitif dengan minuman beralkohol khususnya kontroversi membabitkan Better Beer Festival, Persatuan Penduduk Bandar Mahkota Cheras telah membatalkan jemputan dua wakil rakyat Pas ke pesta tanglung anjuran persatuan tersebut.
Surat berhubung pembatalan jemputan itu dilapor dihantar kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dusun Tua Razaly Hassan dan Ahli Parlimen Hulu Langat Dr. Che Rosli Che Mat.
Menurut sumber, pembatalan jemputan kepada dua wakil rakyat Pas itu dibuat atas dua sebab iaitu isu keselamatan dan minumam beralkohol.
“Sebarang kesulitan yang berlaku amat dikesali pihak kami,” kandungan surat itu dipetik.
Beberapa pemimpin Pas sebelum ini mendesak agar pesta arak atau Better Beer Festival yang dijadual diadakan di ibu negara dibatalkan antaranya kerana bimbang ianya menjadi ‘pesta maksiat’.
Malah pesta arak itu juga dikhuatiri menjadi sasaran kumpulan pengganas seperti Daesh (ISIS) yang boleh menggugat keamanan negara.
Pas Selangor juga telah mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain untuk mendesak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menolak permohonan penganjuran pesta arak pada Oktober depan.
Menurut Setiausaha Dewan Ulama Negeri Selangor Muhammad Najhan Halim, pihaknya menyuarakan bantahan terhadap permohonan penganjuran pesta arak sebagai tanggung jawab sosial dan mewakili masyarakat prihatin di negeri Selangor.
“Pas amat konsisten berkaitan isu pesta arak, sejak dari tahun 2014 lagi telah membantah penganjuran ini. Pandangan Pas jelas iaitu menolak aktiviti minum arak secara berpesta tanpa menolak hak menkonsumi arak di kalangan bukan Islam.
“Ini kerana membudayakan pesta arak adalah bertentangan dengan cara hidup rakyat Malaysia,” katanya.
Bantahan penganjuran pesta arak itu turut disuarakan empat Ahli Majlis Pas di MBPJ.
Pertemuan dengan Datuk Bandar itu dihadiri Ketua Dewan Ulama Pas negeri Rizuan Rahmat, Ketua Pemuda Pas negeri Syarhan Humaizi Halim, Ketua Muslimat Pas negeri Wan Hasrina Wan Hassan, Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas negeri Datuk Deepaakaran Karupiah dan beberapa pemimpin Pas negeri.
Selepas permohonan mengadakan Better Beer Festival 2017 ditolak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pihak penganjur bercadang memindahkan lokasi pesta ke One Utama, Bandar Utama, Selangor.
MBPJ dilapor tidak meluluskan permohonan itu kerana kegagalan penganjur mendapatkan dokumentasi daripada pihak kastam.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah menyekat penganjuran pesta arak, Better Beer Festival 2017 itu. – MD