Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang hari ini berkata pendirian mengenai isu yang ditimbulkan seorang pengetua tahfiz, Shahul Hamid, sudah dinyatakan dan sekarang masa berbincang dan mencadangkan pandangan yang lebih “rahmah” kepada masyarakat.
Pegawai Penerangan Wan Ji Wan Hussin berkata pendekatan seperti itu berjaya membawa kesimpulan yang damai, mengelakkan permusuhan dan tidak melahirkan prejudis sesama rakyat Pulau Pinang.
“Namun sedihnya, MCA seakan-akan tidak bersetuju dan menyerang pendekatan ini,” kata Wan Ji dalam kenyataan hari ini.
Wan Ji berkata kerajaan negeri tidak akan menghalang syarahan agama yang tidak membawa ajaran sesat, tidak membawa kepada permusuhan dan kerosakan dalam masyarakat.
Namun begitu, kerajaan negeri tidak menafikan ada pandangan tertentu yang masih dalam ruangan perbincangan para ulama, dan untuk itu mereka memilih pendekatan berbincang untuk mengatasinya.
“Dalam pengamalan gunting rambut perempuan Islam oleh perempuan bukan Islam, pihak saya dan mufti telah mengeluarkan kenyataan bahawa ia tidak salah mengikut pandangan ulama muktabar bernama al-Mardawi.
“Begitu juga kami juga telah menyatakan bahawa tidak salah sambutan hari lahir dan belajar di sekolah orang bukan Islam dengan merujuk kepada pandangan ulama muktabar dan hujah yang sahih.
“Kepelbagaian pandangan ulama Islam ini wajar difahami dan dipelajari oleh MCA. Sikap MCA yang memusuhi dan menyerang, kami anggap tidak sihat dan melahirkan polemik yang lain pula,” katanya, dan menambah pendekatan itu terpaksa diakui baik oleh Umno dan PAS sendiri.
MCA hari ini menghentam “sikap acuh tak acuh” kerajaan Pulau Pinang terhadap Shahul, selepas seorang exco berkata pengetua tahfiz itu dibenarkan mengajar selagi tidak menyesatkan dan menyalahi akidah.
Shahul dalam ucapan yang dimuat naik antara 2015 dan bulan lalu mengharamkan umat Islam mendapatkan khidmat potong rambut di kedai bukan Islam, di samping mengharamkan ibu bapa menghantar anak ke sekolah kelolaan bukan Islam.
Beliau juga menganggap budaya mengucapkan “Selamat Hari Jadi” sebagai jahiliah, dan tidak setuju dengan amalan menjawab telefon dengan perkataan “Hello”.
Pengerusi Biro Keharmonan Agama MCA Datuk Seri Ti Lian Ker berkata video Shahul yang memaparkan pengetua tahfiz itu menyampaikan kuliah yang memecahbelahkan rakyat perlu dijawab dengan tindakan tegas, sejajar dengan pendirian Majlis Raja-raja Melayu.
Perkembangan ini menyusuli kontroversi melibatkan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin, yang dilucutkan tauliah oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, lanjutan daripada ceramah yang mengandungi perkataan bersifat rasis, kurang beradab dan kritikan melampau terhadap institusi diraja. – FMT