Ahli parlimen Taiping dari DAP Nga Kor Ming menyeru seluruh rakyat Malaysia agar melakukan perubahan kerajaan dalam pilihanraya akan datang. Demikian ucapan beliau di majlis Tahun Baru Cina yang dianjurkan DAP di Taiping baru-baru ini
Menurut Nga tahun lalu negara digegarkan dengan pelbagai ‘keburukan’ dan skandal. Berbilion ringgit wang rakyat lesap dalam pembelian alat kelengkapan pertahanan, pengaliran keluar wang haram, rasuah dan sebagainya. Oleh yang demikian pada tahun arnab ini rakyat Malaysia sewajarnya mengubah perkara ‘buruk’ tersebut dan menggantikan kerajaan BN dengan Pakatan Rakyat.
“Tahun lalu banyak perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Kapal selam yang baru dibeli tidak boleh menyelam, enjin pesawat hilang, siling hospital runtuh, stadium runtuh dan pelbagai lagi. Semua ini amat malang kepada negara dan masyakarat
“Malaysia juga menjadi negara kelima paling banyak wang haram mengalir keluar. Institusi kewangan antarabangsa merujuk Malaysia sejak beberapa tahun lalu telah mengalirkan sebanyak RM880 bilion wang haram keluar negara. Wang ini sebahagian besarnya adalah hasil rasuah dan penyeludupan,” katanya.
Beliau juga menyelar polisi kerajaan BN yang sentiasa menaikkan harga barang keperluan pengguna termasuk petrol sehingga membebankan rakyat berpendapatan rendah.
“Kerajaan kata kenaikan hanya 10 sen, walaupun 10 sen namun sedarkah kita sejak lapan tahun lalu kenaikan harga minyak ini sebanyak 128 peratus. Kenaikan harga jauh lebih tinggi daripada pendapatan rakyat.
“Oleh itu pengundi perlulah berani untuk membuat perubahan menukar kerajaan kepada kerajaan yang lebih baik,” ujarnya.
Majlis sambutan tahun baru itu dimeriahkan dengan tarian singa dan hiburan kebudayaan lain. Pemimpin masyarakat setempat juga turut hadir bersama masyarakat dari pelbagai kaum.