Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, jatuhnya kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah daripada kedudukan ke-55 pada 2016 ke tangga ke-62 tahun ini membuktikan negara sedang ditadbir oleh para koruptor.
“Ini jelas menunjukkan kegagalan Malaysia menaik taraf negara dalam isu membenteras gejala rasuah.
“Oleh itu, kerajaan pusat di bawah pentadbiran PM Najib Razak perlu berusaha lebih giat untuk memastikan orang yang benar-benar bersalah akan dihadapkan ke muka pengadilan dan diberi hukuman yang setimpal.
“Dan yang amat penting lagi ialah orang yang mendedahkan atau membongkar amalan rasuah patut dilindungi dan bukan dihukum,” katanya kepada Suara pakatan daily merujuk hukuman penjara 30 bulan ke atas ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli kerana mendedahkan kes korupsi melibatkan keluarga Ketua Wanita Umno, Shahrizat Jalil pada 2011 lalu.
Mengulas perkara sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja di Perak, Chang Lih Kang berpendapat kejatuhan indeks rasuah Malaysia adalah kerana SPRM lebih mengutamakan ‘ikan bilis’ berbanding ‘jerung besar’ seperti MO1 yang masih gagal diberkas agensi itu.
“Isu 1MDB telah menjadi faktor yang memperkenalkan Malaysia di pentas antarabangsa dan melibatkan ramai pihak serta diliputi banyak kemusykilan tetapi bilakah soalan-soalan berkenaan dengannya akan dijawab?” tanya Lih Kang
“Justeru, rakyat harus tolak BN dalam Pilihanraya Umum Ke-14 ini supaya imej negara dapat dibaik-pulih dan masyarakat antarabangsa akan menghormati negara kita seperti yang telah berlaku dalam era Tun Dr. Mahathir Mohamad dulu,” katanya lagi.