Umno dan PAS tidak perlu meneruskan perhimpunan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kerana ada keresahan antara kaum di negara ini sekarang, kata Anwar Ibrahim.
Presiden PKR itu juga berkata tidak munasabah untuk dua parti Melayu Islam itu menyertai perhimpunan tersebut ketika Putrajaya sudah mengumumkan tidak akan meratifikasi dokumen antarabangsa itu.
“Saya mintalah kebijaksanaan pimpinan Umno dan PAS sebab kita tidak boleh nafikan ada keresahan kaum sekarang.
“Jadi kalau dia fikir, ini isu ICERD akan mengguris perasaan Melayu, keputusan kabinet untuk menolak, jadi alasan itu saya rasa janggallah. Saya harap lah mereka tidak akan teruskan,” katanya selepas melancarkan buku ‘9 May 2018 Notes From The Frontline’ tulisan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menurut Anwar, adalah lebih sekiranya semua pihak duduk berbincang mengenai ICERD dan kesannya.
“Yang itu bagi saya penting. Jadi untuk itu, saya tidak fikir ada kewajaran untuk meneruskan dengan perhimpunan. Kalau kita kata kita akan kaji, itu adalah hak orang untuk berhimpun. Tetapi untuk berhimpun untuk membantah ICERD, tak munasabahlah sebab kita dah tolak,” kata ahli parlimen Port Dickson itu
Pemimpin Amanah, Raja Bahrin Shah awal hari ini menyifatkan Umno dan PAS tidak hormat institusi raja-raja Melayu apabila bertegas mahu meneruskan perhimpunan walaupun sudah ditegur oleh mufti dari beberapa negeri yang dilantik oleh Sultan.
Beliau yang juga timbalan menteri turut mengingat titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah semalam yang mahu rakyat dan pemimpin mempertahankan perpaduan dalam di negara yang berbilang kaum dan agama ini.
Dalam pada itu, Anwar menyerahkan kesemua siasatan melibatkan rusuhan kuil tempoh hari kepada kebijaksanaan Polis.
“Tentunya pendirian PH ialah untuk mansuhkan tetapi kita yakin ada peruntukan undang-undang yany cukup kuat menghalang keganasan dan permusuhan kaum.
“Dan keadaan kita serah kepada kebijaksanaan polis kerana undang-undang itu (Akta hasutan) masih lagi terpakai jadi serah kepada keputusan kebijaksanaan Menteri dalam negeri.
“Yang penting ialah dakwa org yang mencetuskan pergaduhan dan keganasan, mesti mengambil tindakan mengikut jalur hukum yang ada,” katanya lagi.
Polis kini membuka empat kertas siasatan di bawah Akta Hasutan berhubung rusuhan dan kekacauan di kuil itu awal minggu ini, termasuk terhadap exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris yang juga dikenali sebagai blogger Papagomo.
Menteri Dalam Negeri,Muhyiddin Yassin hari ini juga memaklumkan Jemaah Menteri menangguhkan penggantungan Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia, khusus untuk polis mengendalikan kes rusuhan di kuil Hindu di Subang Jaya, Selangor minggu lalu. – mkini