Bekas ketua Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin akhirnya menyertai parti lawannya Bersatu.
Anggota parlimen Masjid Tanah berkata, keputusan itu dibuat demi kepentingan pengundi kawasannya.
“Maka atas dasar inilah, setelah bermuhasabah dan memikirkan sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk menyertai Bersatu,” katanya.
Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah kehangatan isu pertemuan pemimpin kanan Umno dengan Mahathir dan penyertaan hampir semua pemimpin Umno Sabah ke dalam Bersatu semalam.
Mas Ermieyati antara anggota parlimen pertama yang keluar Umno pada 1 Julai lalu untuk menjadi wakil bebas.
Penyertaan anggota parlimen itu menjadikan Bersatu kini menambah penguasaan dalam Dewan Rakyat kepada 16 kerusi.
Selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu, Bersatu hanya memenangi 13 kerusi.
Sementara itu, dalam kenyataannya, Mas Ermieyati berkata akan membantu Bersatu sebagai parti komponen kerajaan untuk melaksanakan agenda pemerkasaan wanita nuda.
Beliau juga mengucapkan terima kasi kepada Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dan kepimpinan parti kerana menerima kemasukannya.
“Semoga Malaysia baharu ini akan mewujudkan budaya politik lebih matang dan inklusif, di samping meletakkan tadbir urus dan integriti sebagai keutamaan,” katanya. – mkini