Calon Pakatan Harapan pilihan raya kecil Cameron Highlands M. Manogaran mempersoalkan ketidakhadiran calon Barisan Nasional pada debat politik pertama yang dianjurkan Bersih 2.0.
Manogaran berkata, beliau kecewa dan ingin tahu mengapa calon BN tidak hadir pada sesi debat itu.
“Saya mahu tahu dari calon BN (Ramli Mohd Nor) apa pendiriannya terhadap isu yang dibangkitkan pada debat hari ini.
“Saya rasa, Ramli tidak cukup berani untuk tampil dan berdepan rakyat.
“Jika beliau tidak berani lebih baik jangan jadi calon pilihan raya kecil ini. Bagaimana kamu mahu menjawab soalan di Parlimen?
“Apa yang kamu nak cakap di Parlimen?
“Ini satu penghinaan. Saya jika jadi ahli Parlimen kita adalah kerajaan, saya akan jalankan tugas,” katanya selepas menghadiri sesi debat di Tanah Rata hari ini.
Ramli enggan berdebat dengan Manogaran selepas salah seorang senator dari partinya mengugut ketua kampung Orang Asli.
Beliau merujuk kepada insiden yang mana senator Pakatan Harapab Bob Manolan didakwa mengugut ketua kampung agar menyokong PH pada pilihan raya kecil atau hilang pekerjaan.
Debat itu dianjurkan oleh Bersih 2.0 dan dihadiri oleh calon bebas Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee diadakan di Hotel Heritage di Tanah Rata.
Ketika sesi debat itu, moderator dari Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Faisal Hazis bertanya kepada calon apa yang akan mereka lakukan sekiranya menjadi ahli Parlimen.
Manogaran berkata, sekiranya beliau menjadi ahli Parlimen beliau akan saman kerajaan negeri Pahang kerana gagal melindungi Orang Asli.
“Saya akan saman tidak kira menang atau tidak. Kami akan terus membantu dan menjaga kebajikan Orang Asli,” katanya.
Wong yang merupakan seorang petani berkata, beliau akan berjuang untuk Orang Asli mendapatkan tanah.
“Saya akan bincang dengan kerajaan negeri untuk gazetkan tanah di penempatan Orang Asli,” katanya.
Sallehudin yang merupakan bekas pensyarah berkata beliau akan memperjuangkan untuk pendidikan yang lebih baik kepada Orang Asli.
“Mereka kurang pendidikan dan kami mahu bantu mereka agar mereka dapat meningkatkan tahap ekonomi sosial,” katanya. – TMI