Kerajaan hari ini mengumumkan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya yang mana syarikat itu memiliki pegangan majoriti.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, dengan kejayaan pengambilalihan tersebut, kerajaan bercadang menghapuskan mekanisma kutipan tol sedia ada.
Sebagai ganti, caj kesesakan (congestion charge) akan diperkenalkan di mana pengguna lebuh raya akan hanya dikenakan caj yang sama dengan kadar tol sedia ada pada waktu puncak selama enam jam sehari.
“Kadar tol dihapuskan sama sekali pada waktu “off-peak” antara jam 11 malam dan 5 pagi, di mana penggunaan lebuh raya adalah percuma.
“Pengguna juga akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa,” kata kenyataan tersebut.
Lebuhraya terbabit adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.
Kurangkan kos sara hidup
Menurut Pejabat Perdana Menteri, perkara itu selaras dengan janji Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan raya lepas untuk mengambil alih konsesi lebuh raya bertol dan menghapuskan bayaran tol secara berperingkat.
“Ini sebagai langkah kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup pengguna lebuhraya,” katanya.
Kenyataan itu menambah, hasil kutipan caj kesesakan tersebut akan diguna pakai untuk menampung kos operasi serta penyelenggaraan lebuh raya serta bayaran pinjaman.
“Lebihan kutipan akan disalurkan kepada satu dana pengangkutan awam, diguna untuk meningkat kualiti pengangkutan awam seluruh negara.
“Lain-lain perincian berkenaan cadangan ini akan di umumkan oleh Kementerian Kewangan pada masa yang sesuai,” jelasnya. – mkini