Masih tidak jelas siapa bakal pemenang ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih berbaki kurang enam hari, dengan kedua-dua parti bekerja lebih masa memastikan sebanyak mungkin penyokong mereka keluar mengundi.
Satu kajian oleh badan pemikir Institute Darul Ehsan (IDE) mendapati Pakatan Harapan (PH) sedikit mendahului sebelum kempen bermula tetapi ia tercabar apabila pengundi merungut tentang kos sara hidup yang tinggi, termasuk kenaikan 10 sen harga petrol.
Aktivis PH dan Barisan Nasional (BN), dua gabungan terbesar dalam PRK itu berkata kebimbangan utama mereka ialah jumlah pengundi kerana PRK itu dilihat tidak signifikan memandangkan ia tidak akan mengubah kuasa di Selangor, dan kerajaan persekutuan.
Penganalisis kanan IDE Dr Kamarul Bahrin Zahid berkata kurangnya keterujaan pada PRK itu terlihat pada perang bendera dan kumpulan kecil yang datang pada acara dan program kempen.
Gabungan pembangkang berharap untuk mendapatkan lebih 14,400 undi yang diterima pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menerusi undi daripada PAS, yang berjaya memperoleh kira-kira 6,900 undi.
Aktivis BN memberitahu The Malaysian Insight mereka berharap protes senyap terhadap PH daripada kalangan penjawat awam dan pengundi muda berhubung janji pilihan raya yang tidak dipenuhi dan tekanan kos sara hidup, akan memberikan lebihan 2,000 undi yang diperlukan untuk menang.
Pada PRU14, PH berjaya menerima 23,428 daripada empat partinya. Jika PAS dan BN mengekalkan tahap sokongan dan undi, mereka masih memerlukan lebihan 2,000 untuk menewaskan PH.
Sementara itu, gabungan pemerintah mempertaruhkan rekod perkhidmatan cemerlang dalam kerajaan negeri Selangor dan sokongan berterusan pengundi kelas pertengahan terhadap pentadbiran persekutuan yang masih baru untuk terus berkhidmat.
“Ia masih PRK yang sukar dan tidak jelas siapa yang akan menang walaupun PH bermula dengan sedikit mendahului.
“Tetapi PH berdepan kritikan kerana kos sara hidup, terutama selepas harga petrol naik 10 sen pada hujung minggu ini. Ini menyebabkan kemarahan di media sosial,” kata Kamarul Bahrin kepada The Malaysian Insight.
“Demam kempen kedua-dua pihak juga kurang. Tetapi ia kekal pada dasarnya sebagai pertandingan PH-BN walaupun dengan kehadiran calon PSM (Parti Sosialis Malaysia) dan bebas.”
Kerusi DUN itu yang hampir dengan sempadan Negeri Sembilan di tenggara Selangor mempunyai 53,257 pengundi berdaftar. Melayu membentuk 68% pengundi, diikuti Cina (17%) dan Indian (14%). Terdapat juga masyarakat Orang Asli mewakili 1% pengundi.
Calon PH, Aiman Zanali berdepan calon BN, Zakaria Hanapi, Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan calon bebas Kuan Chee Heng.
Pemimpin akar umbi Umno Hulu Langat Shamsul Zainuddin yakin BN dapat menewaskan PH dengan sokongan PAS selagi mereka dapat menarik semua penyokong untuk keluar mengundi pada 2 Mac.
“Itu isu utama,” kata Shamsul kepada The Malaysian Insight ketika ditanya apa cabaran utama berkempen di pusat daerah mengundi (PDM) Kantan Permai, iaitu kawasan ketiga terbesar pengundi daripada 23 kawasan di Semenyih.
“Kami ada isu yang boleh dimainkan, ahli PAS dan Umno bekerjasama dengan baik, tapi apa yang kami perlukan ialah semua penyokong keluar mengundi.” – TMI