Pakar terorisme tidak menolak serangan yang berlaku Christchurch, New Zealand, semalam disebabkan keterbukaan sesebuah negara membenarkan kemasukan budaya luar.
Ahli panel pakar deradikalisasi Kementerian Dalam Negeri, Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, perkara sedemikian juga dibimbangi boleh berlaku di Malaysia jika negara tidak menyekat kemasukan unsur luar yang tidak sesuai dengan budaya di Malaysia.
“New Zealand terkenal sebagai negara yang mesra kepada imigran dan bersikap toleran kepada semua pendatang, termasuklah mengiktiraf hak masyarakat Maori, malah rancangan ceramah tentang agama Islam juga disiarkan secara mingguan di TV2 New Zealand.
“Islam tidak disekat dan bebas diamalkan dengan sebaiknya, begitu juga Hindu dan Buddha. Hampir tidak pernah saya mendengar insiden serangan ke atas umat Islam di New Zealand.
“Akan tetapi kejadian yang berlaku semalam amat mengejutkan, dan sekali lagi bukan dilakukan oleh orang New Zealand, tetapi Australia,” katanya kepada FMT.
Mizan memberi beberapa contoh unsur luar seperti ajaran jihad takfiri dan jihad Al-Kital iaitu mengkafirkan semua bukan Islam sehingga boleh dibunuh dan jihad boleh membunuh mana-mana pihak yang tidak mengikut ajarannya.
Tambahnya, tolerasi dan ruang yang diberikan New Zealand membuka peluang kepada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.
“Tumpuan selalunya kepada pengganas Islam tetapi dalam masa yang sama mengabaikan terroris dari kalangan kumpulan lain atau kumpulan berhaluan kanan dengan agenda tersendiri.
“New Zealand juga gagal mengawal pemilikan senjata api. Jelas dilihat dalam video yang tersebar, suspek memiliki lebih 5 pucuk senapang patah dan semi-automatik serta memilki bom yang diletakkan dalam kenderaan,” katanya.
Mizan yang juga professor pelawat Pusat Kajian Timur-Barat Universiti Of Hawaii, Honolulu, USA mendakwa penyerang Masjid Al-Noor yang menggunakan nama Brendon Breivick Tarrant berfahaman “far-rightwing extremists” iaitu satu fahaman radikal Neo-Facisme.
“Golongan ini wujud selepas perang dunia ke-2 yang mengambil roh Nazisme. Golongan ini sangat ekstrem berpaksikan ultranasionalisme (mempromosikan kepentingan negara dan bangsa lebih utama atas segalanya), racial-supremacy (kepentingan bangsa atau etnik), authoritarianisme (kerajaan autokratik dan menyekat kebebasan berpolitik), nativisme (kepentingan politik kaum natif), racial supremacy (kepentingan berasaskan kaum), populisme (memperjuangkan golongan bawahan) dan menolak imigrasi.
“Walaupun banyak media barat menyatakan serangan oleh ‘gunman’, akan tetapi ini jelasnya adalah serangan terroris. Ciri-ciri serangan dan fahaman yang dianuti oleh Tarrant jelas dia adalah terroris. Amat tidak adil hanya mengaitkan terroris dengan Islam semata-mata, terroris wujud merentasi agama, etnik dan negara,” katanya.
Mizan juga tidak menolak tindakan Tarrant meletakkan nama tengahnya “Breivick” iaitu mengambil inspirasi daripada Andrei Brevick yang berfahaman Neo-Nazi dan “White Supremacy”.
“Beivick melakukan serangan di Sweeden dan Pulau Utoya yang membunuh 77 orang pada 22 Julai 2011. Modus operandi yang hampir sama digunakan oleh Tarrant,” katanya.
Mizan berkata, berdasarkan pengalaman 4 tahun di New Zealand, negara itu menjadi pilihan migran termasuklah dari Malaysia.
Terdapat 1,247 rakyat Malaysia di Christchurch dan kira-kira 15,000 di seluruh New Zealand.
Katanya, sudah sampai masanya kawalan dilakukan di tempat-tempat ibadat termasuk di masjid dan gereja untuk mengelak tragedi serangan di Christchurch tidak berulang termasuk di Malaysia.
“Sifat ekstrem sebegini boleh wujud dalam diri sesiapa sahaja termasuklah di Malaysia jika tidak dibendung dengan sebaiknya. Kelompok berfahaman ekstrem ini tidak perlu ramai, seorang sahaja cukup kerana kerosakan yang dilakukan amat ketara.
“Malah yang lebih ditakuti adalah tindak balas daripada radikal Islam pula sama ada di New Zealand mahupun di Eropah dan AS. Jika ini berlaku, permusuhan dan kebencian akan terus wujud dan akhirnya wujudlah perbuatan terrorisme. Isu terroris ini akan kekal relevan dalam masa-masa yang akan datang.” – FMT