Kerajaan Pulau Pinang mengambil langkah proaktif dalam menyelesaikan isu sebahagian penghuni di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis yang hilang tempat berteduh.
Seramai dua penghuni menerima rumah baru melalui kaedah sewa beli dan seorang lagi penghuni membeli rumah baru di Daerah Timur Laut selepas diusir dari kediaman yang disewa mereka.
Ketiga-tiga mereka mendapat rumah baru selepas perbincangan diadakan bersama wakil kerajaan negeri di Komtar, baru-baru ini.
Exco Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, semua penghuni yang hilang kelayakan menghuni PPR Taman Manggis itu masih layak memohon untuk projek perumahan yang lain.
“Penghuni PPR Taman Manggis yang memohon untuk perumahan lain akan kita berikan keutamaan kepada mereka untuk mendapatkan kediaman baru.
“Kita hanya berikan unit PPR Taman Manggis ini kepada pemohon yang benar-benar tidak berkemampuan,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Menurutnya, mereka yang layak menghuni rumah PPR mestilah mempunyai pendapatan tidak melebihi RM1,500 sebulan.