Tindakan Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali menjalankan tugas sebagai presiden Umno tidak akan membantu parti itu memulihkan sokongan parti Melayu itu, kata pemimpin parti.
Sumber Umno juga memberitahu The Malaysian Insight, langkah itu akan membantutkan usaha yang dijalankan Timbalan Presiden Mohamad Hassan untuk memulihkan imej parti.
Exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris berkata langkah itu akan menyukarkan Zahid untuk menangkis persepsi rakyat terhadap parti terutama dari anak muda.
Katanya, imej Umno sudahpun bertambah baik lebih-lebih lagi selepas kemenangan calon parti itu dalam tiga pilihan raya kecil baru-baru ini.
“(Kehadiran Zahid) tidak membantu secara keseluruhan pemimpin Umno menuju PRU15 lebih-lebih lagi untuk berkempen.
“Sebagai contoh, kami terpaksa menjawab dengan anak muda terutamanya bukan ahli Umno tentang Zahid Hamidi,” katanya yang merujuk kepada 87 tuduhan mahkamah dihadapi Zahid.
Tambahnya, walaupun rata-rata orang Umno setuju dengan tindakan Zahid itu, ia banyak ditentang oleh kalangan orang muda dari dalam dan luar parti.
“Orang muda dalam Umno, anak muda luar parti Umno mahukan wajah baru. Mereka tidak mahu pemimpin yang ada kes.
“Salah atau tidak itu soal kedua. Mereka berkata begini kerana mereka sayang Umno,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Zahid mula bercuti menjalankan tugas presiden enam bulan lepas kerana “mahu menghentikan kemelut melanda Umno” yang menyebabkan ramai wakil rakyatnya meninggalkan parti.
Namun Zahid mengumumkan untuk kembali bertugas sebagai presiden pada Sabtu lalu.
Wan Azri berpendapat, Zahid berbuat demikian kerana berasa tertindas apabila diheret ke mahkamah selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan.
Dalam pada itu seorang ahli majlis tertinggi yang enggan dinamakan juga bimbang kehadiran Zahid akan memburukkan lagi keadaan kerana tidak disenangi akar umbi.
“Bila dia kembali kita tahu perbicaraan sedang berjalan, dia pun belum dibuktikan bersalah. Tetapi akar umbi kawasan saya ramai yang tidak setuju (Zahid kembali).
“Ramai lihat (Mohamad) berjaya naikkan momentum Umno ke atas,” kata pemimpin kanan Umno yang juga ahli Parlimen itu.
Kemenangan Barisan Nasional dalam tiga pilihan raya kecil – Semenyih, Rantau dan Cameron Highlands itu berlaku sewaktu Mohamad menjalankan tugas presiden.
Bagaimanapun, tindakan Zahid itu tetapi disokong seorang lagi ahli Majlis Tertinggi Umno yang berkata Zahid berhak menjalankan tugas presiden kerana terpilih ke jawatan itu dalam pemilihan.
“Yang mana bising itu segelintir sahaja. Zahid boleh pimpin Umno dan kes di mahkamah beliau belum dibuktikan bersalah,” kata sumber yang enggan namanya disebut.
Dalam pemilihan parti tahun lalu, Zahid memenangi 91 undi bahagian mengalahkan lawannya Khairy Jamaluddin yang menang 72 undi dan Tengku Razaleigh Hamzah yang mendapat 28 undi.
Sewaktu masih bercuti pada Februari lalu, Zahid menegaskan beliau akan kembali menerajui parti itu selepas para ulama dapat melihat satu peristiwa besar berlaku dalam negara.
Zahid juga mendakwa beliau merupakan antara individu yang bertanggungjawab mengusahakan kerjasama dengan PAS selepas Umno kalah pilihan raya.
Namun, Dewan Ulama PAS sendiri enggan menjelaskan dengan tepat peristiwa besar yang didakwa mendorong Zahid untuk kembali bertugas sebagai presiden Umno.
Ketua Dewan Ulama PAS Nik Muhammad Zawawi ketika ditanya mengenai perkara itu hanya dapat berseloroh bahawa “perkara besar itu adalah PAS akan menang PRU15”. – TMI