PKR menawarkan kompromi dalam isu perasmian kongres sayap wanita dan pemuda yang dipertikaikan sama ada oleh Timbalan Presiden Azmin Ali atau Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Ismail.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, perasmian sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada kongres minggu depan akan dilakukan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Manakala sayap Wanita pada 5 Disember depan akan dirasmikan oleh Azmin.
“Saya belum terima apa apa maklumat sama ada Datuk Seri Azmin akan hadir akan tidak (merasmikan sayap Wanita) ini penganjuran sekretariat bagi kongres Wanita,” katanya dipetik Malaysia Gazette.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kehadiran Azmin untuk merasmikan Kongres Wanita juga belum dimaklumkan kepada Biro Politik dan Sekretariat Kongres.
“Ini adalah dibawah penganjur pihak Sekretariat Wanita. Setakat ini Biro Politik dan Sekretariat bagi Kongres Nasional belum dimaklumkan tentang perkara ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Setiausaha Akhbar (SUA) Azmin, Wong King Chai mengesahkan bahawa Ahli Parlimen Gombak itu akan hadir merasmikan sayap Wanita.
“Ya,” katanya ringkas.
Belum pun bermula, Kongres Nasional PKR yang bakal diadakan di Melaka minggu depan terus mencetuskan kontroversi apabila jawatan Pengerusi Tetap Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhamad Mizan Adli Mohd Nor dan timbalannya, Mohd Ramly Ahmad ditamatkan pada Rabu.
Perkara itu didedahkan menerusi surat ditandatangani Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Che Ab Razak dengan mengemukakan alasan penamatan dibuat kerana umur kedua-dua pemimpin itu telah melebihi 35 tahun seperti ditetapkan parti.