Biar pun dicaci oleh pembangkang kononnya kerajaan Pakatan Harapan tidak melakukan apa-apa dalam setahun setengah pemerintahan namun badan dunia berkenaan ketelusan Transparency International (TI) berpendapat sebaliknya
TI dalam kenyataan terbaharunya memuji lonjakan Malaysia ke kedudukan 51 daripada 180 negara bagi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahun 2019.
Menurut Menteri Undang-undang Liew Vui Keong, lonjakan itu adalah bukti komitmen dan usaha kerajaan dalam memerangi rasuah di seluruh negara yang diakui dunia.
“Lonjakan negara dalam indeks ini menterjemahkan keberkesanan pelbagai usaha antirasuah dan inisiatif pembaharuan institusi yang diperjuangkan oleh kerajaan sepanjang tahun 2019,” katanya dalam satu kenyataan.
Perang ke atas rasuah menjadi keutamaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas mengambil alih Putraja pada Mei 2018, tambah Liew.
Menurutnya lagi, usaha kerajaan antara lain termasuk pengenalan Pelan Anti Rasuah Nasional 2019 – 2023 yang menggariskan 22 strategi dengan 115 inisiatif antirasuah untuk memerangi rasuah di kesemua sektor di seluruh negara.
Selain itu, inisiatif pembaharuan institusi utama juga diperkenalkan seperti pengisytiharan aset oleh kesemua menteri dan ahli Parlimen termasuk perdana menteri, merujukkan kepada Parlimen draf rang undang-undang pembiayaan politik, dan membentangkan di Parlimen rang undang-undang bagi mengehadkan tempoh perjawatan perdana menteri.
“Namun ini hanya permulaan satu jalan yang panjang dengan banyak lagi pembaharuan institusi yang akan diperkenalkan sepanjang tahun 2020,” kata Liew.
Antara perubahan yang akan diperkenalkan termasuk pengukuhan kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pengukuhan kebebasan Parlimen dengan memperkenalkan semula sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen, menggantikan Akta Rahsia Rasmi 1972 dengan Akta Kebebasan Maklumat yang baharu dan memperkukuhkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi memberikan lebih banyak imuniti dan cara untuk pemberi maklumat mengemukakan maklumat.
Hasil dapatan yang dikeluarkan semalam, TI berkata Malaysia melonjak 10 kedudukan, hasil usaha berterusan Putrajaya dalam memerangi rasuah di bawah pemerintahan kerajaan baharu.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan berkata lonjakan tersebut disebabkan beberapa faktor seperti tindakan segera kerajaan ke atas skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), SRC International Sdn Bhd, Felda dan Lembaga Tabung Haji.