Usul Undi Percaya yang akan dibentangkan Pas di Parlimen biar pun pelik namun tidak boleh diambil mudah.
Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M Manogaran berkata, sekali pun usul itu mungkin ditolak Speaker dan tidak akan dibahaskan tetapi calon PM ke 8, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu ingat kemungkinan terdapat usul Undi Tidak Percaya selepas beliau dilantik menjadi perdana menteri.
“Jelas ada percaturan politik yang sedang disusun oleh puak-puak menentang Anwar. Oleh itu, Anwar perlu tahu siapakah yang menyokongnya dan siapa tidak.
“Ada penganalisis politik di media sosial memberi pandangan bahawa pihak yang menyokong Anwar adalah kurang tetapi setahu saya Anwar mampu memperolehi 112 undi atau lebih untuk mengekalkan sokongan untuk beliau. Namun begitu, soalan saya sekarang ialah: Adakah usul ‘Undi Percaya’ itu akan berjaya dibentangkan?” tanya Manogaran.
Beliau menganggap Undi Percaya tidak pernah berlaku dalam sistem demokrasi diusulkan oleh pembangkang di mana-mana negara.
“Usul ini di luar kebiasaan dibawa oleh pembangkang. Yang biasa dibentang pembangkang ialah ‘Undi Tidak Percaya’ terhadap Perdana Menteri,” katanya.
Walau bagaimanapun Manogaran menggesa agar PH, terutamanya pihak yang menyokong Anwar, lebih berwaspada kerana ‘Undi Percaya’ itu adalah konspirasi menghalang Anwar mengambil-alih jawatan Perdana Menteri pada 10 Mei 2020 nanti.
Selain itu, Mano turut berasa kecewa dengan pembangkang yang sering menghuru-harakan negara. Katanya, hal itu menambah lagi faktor ketidakstabilan dalam negara ketika sektor pelancongan sudah pun terjejas kekurangan pelancong disebabkan wabak koronavirus.
“Kegiatan puak-puak ini telah mengucar-kacirkan kestabilan politik Malaysia. Justeru itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan perlu bermesyuarat dengan segera menetapkan tarikh peralihan kuasa.
“Pimpinan PH tidak boleh berkelakuan acuh-tak-acuh dalam perkara ini. Rakyat sedang menunggu dan puak-puak yang berniat jahat juga sedang mengaktifkan pelan mereka.
“Kalau pihak yang menyokong Anwar takut bertindak maka akan terlambat nanti. Dalam apa-apa senario peperangan pun dan medan politik serupa dengan medan peperangan, kalau musuh sudah bertindak dan kita duduk diam sahaja maka akhirnya kita akan ditewaskan,” tegas Manogaran.