Belanjawan 2021 tidak akan disokong secara membuti tuli kerana dilihat Pembangkang tidak adil dan menganaktirikan peruntukan kepada kawasan yang diwakili Pakatan Harapan atau negeri yang ditadbir mereka.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, pembangkang hanya akan menyokong belanjawan itu sekiranya berpuas hati dan mendapati ianya adil untuk semua.
“Belanjawan 2021 mestilah adil kepada semua pihak dan semua golongan masyarakat. Kalau tidak, mana boleh Pakatan Harapan menyokongnya?” kata Nizar kepada Suara Pakatan Daily.
Timbalan Pengerusi Amanah Perak itu berkata, semua lapisan masyarakat di kawasan DUN beliau menyoal keberkesanan belanjawan tersebut dalam membantu rakyat biasa ketika menghadapi pandemik Covid 19.
Selain itu, katanya, ekonomi yang merosot juga tidak jelas apakah mampu dijana semula dengan belanjawan yang dibentangkan pada 6 November lalu itu
“Masyarakat peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana juga sedang menyoal keberkesanan belanjawan ini dalam membantu mereka. Semua sedang mengalami penurunan angka jualan dan ada juga yang sedang berhutang dengan bank. Mereka hari ini sedang menghadapi jalan buntu,” kata Nizar lagi.
Apatah lagi, katanya, rakyat yang sedang menganggur. Mereka berasa amat marah kerana sedang dihimpit kos sara hidup yang tinggi.
“Sebuah negara jiran di ASEAN sudah menurunkan harga 13,000 jenis barangan. Kita perlu mencontohi mereka. Tetapi di Malaysia harga banyak barangan masih tinggi dan kebanyakannya sudah mengalami kenaikan harga (pada musim Covid). Saya perhatikan bahawa harga telur sahaja yang turun,” sinis Nizar.
Beliau menegaskan kalau kerajaan Perikatan Nasional kurang berupaya membuat lebih untuk rakyat, maka ramai lagi akan terjatuh ke dalam jurang kemiskinan.