Tangkapan polis untuk soal siasat ke atas 4 individu yang mengkritik Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor di media sosial tidak sewajarnya berlaku dalam negara yang mengamalkan demokrasi.
Dalam kenyataan bersama Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah, Mohammed Firdaus Johari dan Setiausaha Biro Guaman & Undang-Undang AMK Malaysia, Darwin Lim Chee Chien, kedua-duanya berpendapat tangkapan seumpama itu menindas hak asasi manusia dan melanggar prinsip demokrasi.
“AMK Negeri Kedah bersama Biro Guaman dan Undang-Undang AMK Malaysia menggesa MB Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan pihak Polis Diraja Malaysia supaya menghentikan segera tindakan yang menindas kebebasan bersuara rakyat.
“Ini berhubung kes empat individu yang ditahan atas dakwaan menghina MB Kedah, di mana pihak polis telah menangkap dan menyiasat individu-individu tersebut dengan beberapa Akta seperti Akta Kesalahan Kecil 1955, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas komen dan kritikan mereka di laman web sosial terhadap gurauan kasar Sanusi mengenai kontena jenazah pesakit Covid-19.
“Dalam mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi dan menghormati hak kebebasan, setiap pemimpin politik yang diberi mandat oleh rakyat harus bertanggungjawab ke atas rakyat dan rakyat seharusnya mempunyai hak dan kuasa untuk mengkritik tindakan serta keputusan ahli politik.
“Kami berpendapat penggunaan beberapa akta untuk menyiasat individu-individu terbabit merupakan satu penindasan terhadap kebebasan bersuara dan juga merosakkan konsep semak dan imbang rakyat terhadap kerajaan. AMK khuatir tindakan pihak polis ini akan menimbulkan ‘culture of fear’ yang akan menyebabkan rakyat tidak lagi berani mengamalkan hak mereka yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata mereka.
Menurut mereka lagi, sisatan polis ke atas 4 individu terbabit bertenangan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kebebasan kepada rakyat menyuarakan pendapat dan tidak bertepatan dengan beberapa keputusan mahkamah yang membenarkan rakyat mengkritik kerajaan atau menteri.
“Siasatan pihak polis terhadap mereka merupakan satu tindakan yang zalim serta telah melanggar kedaulatan undang-undang negara kita mengenai kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan
“Oleh yang demikian, kami menggesa pihak polis supaya hentikan segera penggunaan akta-akta tersebut terhadap individu-individu terbabit.
“Menteri Besar Kedah harus mengambil tanggungjawab yang penuh terhadap insiden ini dan memohon maaf kepada rakyat atas kegagalan beliau dalam menunjukkan teladan yang baik sebagai seorang pemimpin kerajaan,” kata mereka lagi.
Baru-baru ini MB Kedah dikecam hebat atas gurauannya mengenai kontena menempatkan jenazah pesakit Covid. Beliau dalam sidang media menyatakan kontena penyimpanan jenazah mencukupi tetapi bergurau ‘beri nama siapa mahu masuk’ ke kontena berkenaan.