Kenyataan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bahawa Kerajaan Persekutuan telah membayar royalti petroleum sebanyak RM400 juta kepada Kelantan dalam tempoh 2 tahun tidak langsung membanggakan rakyat di negeri itu.
Menurut Ketua Cabang KEADILAN Kota Bharu, Zinda Khalil Sastro Hassan, sepanjang 2 tahun kerajaan Pas menerima dana itu tiada sebarang kemajuan yang dapat dilihat dilakukan di Kelantan.
“Kenyataan Menteri Kewangan beri ke Kelantan setahun RM200 juta, maknanya 2 tahun RM400 juta sedap didengar tetapi hari ini saya sebagai rakyat Kelantan, walau kerajaan pusat beri RM400 juta, keadaan sama sahaja dengan 10 atau 20 tahun lepas ketika pusat tak bagi apa apa kepada negeri ini.
“Dengan kata lain tak ada perubahan yang rakyat Kelantan dapat rasakan.
“Apatah lagi sekarang ini kita dalam pandemik Covid 19 dan peluang pekerjaan semakin kurang, pendapatan makin kurang. Jadi tak nampak pembaikan dari segi bantuan kebajikan untuk rakyat, atau dari segi pembangunan,” katanya kepada Suara Keadilan.
Zinda Khalil yang menetap di Kota Bharu menambah, wajah ibu negeri Kelantan itu juga masih tidak berubah dengan pertambahan kewangan. Malah, katanya bekalan air bersih yang menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri juga di takuk lama, warna airnya kekal keruh seperti dahulu.
“Walaupun dapat bantuan RM400 juta, saya bercakap dengan orang kampung sekitar Kota Bharu, mereka kata tak nampak sebarang perubahan. Makin teruk ada. Bekalan air pun sampai hari ini masih air teh-o-beng (teh tarik) yang lama juga, tak jadi air mineral warnanya,” sinis Zinda.
Mengulas mengenai kemungkinan kerajaan Pas menggunakan wang royalti untuk membantu pendidikan agama terutama sekolah pondok, hal itu juga, kata Zinda tidak kelihatan kerana sekolah pondok masih mengharapkan wang infak orang ramai.
“Nak kata bagi ke sekolah pondok, saya ada kawan (berkhidmat) di sekolah pondok. Sampai hari ini pun mereka masih terpaksa meminta bantuan orang ramai. Kalau mereka dah cukup bantuan Kerajaan Negeri tak perlulah minta bantuan orang ramai untuk pelajar tahfiz
“Kalau nak kata baiki insfrastruktur, baru ini kita tengok pendedahan Jeming Hasan (ahli politik Amanah) keluar You Tube di kawasan Exco Nik Amar, sampai hari ini longkang tak dibaiki, apabila hujan lebat banjir kilat. Kawasan saya pun saya di kampung Demik, Kota Bharu kalau hujan lebat, akan banjir.
“Begitu juga inisiatif bantuan kepada penjaja yang terjejas, semua memang tak ada,” katanya lagi.
Baru baru ini, netizen di media sosial membincangkan mengenai royalti RM400 juta yang diterima oleh kerajaan Kelantan hasil perjuangan mantan Menteri Besar Nik Aziz Nik Mat dan NGO Royalti ketika itu.
Bagaimanapun, rakyat Kelantan rata rata kecewa kerana hasil yang demikian lumayan tidak dibelanjakan untuk memperbaiki insfrastruktur di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri, terutamanya bekalan air bersih.