Akibat gagal hadir ke Debat Perdana Lembah Pantai, ahli parlimennya Nurul Izzah Anwar memberi peluang kepada Datuk Raja Nong Chik untuk memilih sendiri tarikh, tempat dan masa yang baru untuk berdebat semula.
“Saya serah pada Datuk Raja Nong Chik untuk tetapkan tarikh, tempat dan masa yang baru untuk berdebat. Cakap, dimana pun saya akan pergi,” kata Nurul Izzah disambut tepukan gemuruh kira-kira 200 hadirin.
Walaupun dalam hujan renyai, ditambah pula gangguan pembesar suara dari tapak ceramah BN yang diadakan hanya 30 meter dari lokasi debat, namun tak menghalang warga lembah Pantai hadir ke perkarangan Apartmen Pantai Permai untuk mendengar hujah kedua panelis.
‘Sebelum ini, Raja Nong Chik cabar saya dan MP Petaling Jaya Utara (Tony Pua) untuk berdebat mengenai penggunaan wang KWSP untuk membiayai kos pembinaan rumah kos rendah.
“Hujah kami ialah, pembinaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) mestilah menggunaan wang kerajaan. Bukannya wang pencarum KWSP.
“Tapi malam ini tak perlu dua orang pun, saya seorang dah cukup.. Tapi Raja Nong Chik tak hadir. Penduduk Lembah Pantai kecewa,” katanya.
Moderator program, Shah Wahid memberikan masa sehingga jam 9.30 malam bagi menunggu kehadiran Raja Nong Chik untuk memulakan debat, namun kelibat Menteri Pembangunan Wilayah & Kesejahteraan Bandar, tidak muncul.
Meneruskan agenda program, moderator mengajukan lima soalan, antaranya berhubung masalah dan langkah dilakukan Nurul Izzah sebaik mendapat mandat selepas pilihan raya umum 2008.
“Saya dinafikan peruntukan Unit Koordinasi Pelaksanaan (ICU-JPM) RM1.5 hingga RM2 juta setahun, sebaliknya disalur kepada Umno Lembah Pantai.
“Begitu juga penggunaan infrastruktur awam seperti Dewan Orang Ramai, saya dinafikan hak penggunaan meskipun dipilih secara demokratik oleh rakyat Lembah Pantai,” kata Izzah.
Nurul Izzah turut mengajuan pandangan antara lain agar pilihan raya Majlis Tempatan dihidupkan dan jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur dipertandingkan semula untuk rakyat memilih penjawat awam yang lebih bertanggungjawab.
Soalan sama diajukan kepada Raja Nong Chik, namun tidak berjawab mendorong moderator meminta ‘wakil’ Raja Nong Chik yang bersembunyi dikalangan hadirin untuk menjelaskannya melalui medium lain.
Program tamat kira-kira jam 11 malam tanpa sebarang kejadian tidak diingini.