Sebuah akhbar harian tempatan Bahasa Inggeris bertarikh 4 Ogos 2015 dengan tajuk ‘Many stocking up on US and Singapore dollars’ melaporkan terdapat rakyat Malaysia yang sudah kurang yakin dengan nilai matawang Ringgit dan mereka kini menyimpan matawang Amerika Syarikat atau Singapura.
Akhbar yang sama pada tarikh 28 Julai lalu juga melaporkan hasil tinjauan Nielsen Survey di Malaysia yang mendapati bahawa 73 peratus pengguna berpendapat ekonomi Malaysia sedang mengalami kegawatan.
Kini nilai matawang Ringgit sudah mencecah RM3.85 untuk AS$1 dan dijangka nilai matawang Amerika Syarikat akan naik lagi dalam jangka masa terdekat.
Dalam pada itu, beberapa laporan menyebut buat masa ini berlaku sedikit kesukaran untuk mendapatkan mata wang Amerika Syarikat atau Singapura daripada pengurup matawang
Selain daripada itu, tinjauan yang dilakukan oleh wartawan Suara Pakatan Daily di kawasan perindustrian Selangor mendapati sesetengah kilang tidak lagi membenarkan pekerja melakukan kerja lebih masa kerana permintaan terhadap produk semakin berkurangan.
“Ini disebabkan oleh ekonomi dunia yang jatuh dan ekonomi kita yang sudah meleset,” kata seorang pekerja kilang bernama Robert Chong yang memberitahu bahawa kerja lebih masa tiada lagi di tempat kerja beliau.
Chong juga memberitahu bahawa saudaranya yang memiliki sebuah butik pakaian berkata matawang Ringgit tidak lagi diterima di Thailand, Indonesia dan Vietnam apabila saudaranya pergi ke negara-negara tersebut untuk membeli stok pakaian.
Situasi di negara kita memang tidak memberangsangkan sejak Cukai Barangan Dan Perkhidmatan dimulakan pada 1hb April lalu. Kini ekspot Malaysia berkurangan dan rezab antarabangsa Malaysia susut ke paras AS$100.5 bilion.