Dua puluh tahun lalu Anwar Ibrahim dipecat dari kerajaan pertama Dr Mahathir, dua perkara masih kekal. Dr Mahathir Mohamad ialah perdana menteri dan Anwar tidak berada dalam kerajaan. Belum lagi.
Apa yang menjadi perbezaan adalah kedua-duanya bersama dua tahun lalu dan berusaha menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional pada pilihan raya 9 Mei – dengan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar akan menjadi penggantinya, sekali lagi.
Aktivis Reformasi, yang merupakan penyokong Anwar sejak dua dekad lalu, yang tidak menyangka realiti ini namun kini percaya Dr Mahathir akan menyerahkan kuasa tidak lama lagi – sekaligus memadamkan kenangan pahit sejak 20 tahun lalu.
“Kita tidak boleh toleh ke belakang, kita perlu terus pandang ke hadapan. Jika kita toleh ke belakang, kita tidak akan dapat perbaiki negara ini,” kata aktivis Reformasi Badaruddin Ismail kepada The Malaysian Insight.
Dikenali dengan panggilan Pak Din beliau yang berusia 73 tahun merupakan antara 10 individu yang ditahan tanpa bicara pada 2001 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menganjurkan demonstrasi jalanan yang menggegarkan ibu negara pada awal gerakan Reformasi.
Turut ditahan bersama Pak Din adalah Chua Tian Chang (lebih dikenai sebagai Tian Chua), Saari Sungib, Hishamuddin Rais, Lokman Noor Adam, Ezam Mohd Noor, N. Gobalakrishnan, Dr Badrul Amin Baharum, Raja Petra Kamarudin dan Abdul Ghani Haroon. Kebanyakannya kini berada dalam kerajaan pemerintah Pakatan Harapan (PH) kecuali Lokman yang kembali menyertai Umno dan Raja Petra yang menyatakan sokongannya terhadap perdana menteri Najib Razak.
“Sejak 20 tahun lalu, keadaan berubah secara beransur-ansur. Apa yang kami perjuangkan kini dilaksanakan dan situasi sekarang lebih baik.
“Bukan sahaja dari aspek kewangan dan politik tetapi juga perkara enting seperti hak asasi manusia,” kata Pak Din, yang merupakan aktivis Suara Rakyat Malaysia (Suaram).
Bagaimanapun, Badaruddin mengakui terdapat pelbagai spekulasi menyelubungi kerjasama dua ahli politik yang mempunyai hubungan mentor-protege sehingga perpecahan politik pada 20 tahun lalu.
“Saya tidak terlalu bimbang dengan apa yang dipanggil perpecahan dan spekulasi. Dr Mahathir tidak akan mentadbir sebagaimana sebelum ini. Tidak lama lagi Anwar akan menerajui pentadbiran negara.”
“Kedua-duanya sudah menetapkan syarat dan bersetuju untuk memperbaiki negara. Kedua-duanya memiliki agenda yang sama itu yang penting,” tambah Pak Din.
Selepas pemecatannya pada 2 September, 1998, Anwar menjelajah ke seluruh negara dan kemudian ditahan pada 20 September, dipukul di penjara, dibicara atas tuduhan penyelewengan dan liwat dan dipenjara sehingga 2004 kemudian beliau dibebaskan selepas keputusan liwat dibatalkan.
Pergolakan itu kemudiannya melahirkan KeAdilan, sebuah gerakan yag kemudiannya menjadi parti politik yang dikenali sebagai PKR. Isteri Anwar Dr Wan Azizah Wan Ismail memimpin parti itu daripada awal sehingga baru-baru ini apabila Anwar mengambil alih jawatan itu.
Pak Din memberitahu The Malaysian Insight beliau tidak pernah menyesal dengan cubaan yang dihadapinya dan berkata beliau kini berpuas hati dengan apa yang dicapai oleh rakyat.
“Saya sangat berpuas hati sekarang. 20 tahun lalu kami pelbagai cabaran kami lalui dan kini kami di sini dalam kerajaan baharu,” katanya.
“Ya, Dr Mahathir ialah PM tetapi ia tidak seperti 20 tahun lalu. Ahli kabinet juga cuba menambah baik situasi bersama-sama,” tambahnya.
Bekas tahanan seperti aktivis pelajar Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan Shariffudin Budin juga berkata pemecatan Anwar kini menjadi satu memori.
“Kedua-duanya memainkan peranan mereka dan mereka berjaya. Ia bukan tentang mereka, ia tentang rakyat. Rakyat akan menentukan masa depan negara,” kata Khairul.
Shariffudin, yang merupakan ahli PKR, ditahan di bawah ISA pada 1998 selepas menggerakkan Anwar menjelajah seluruh negara untuk bercakap tentang pemecatannya.
“Isu 2 September tidak boleh berulang. Tetapi saya percaya, kita perlu tinggalkannya di belakang. Kedua-dua pemimpin ada dan impian reformasi kita kini dalam perjalanan. Barisan Nasional tidak lagi berkuasa dan kita akan terus melangkah ke hadapan ke arah perubahan yang kita mahukan,” kata Shariffudin.
Aktivis itu juga percaya Dr Mahathir sudah berubah ke arah yang lebih baik dan menerajui PH untuk Malaysia yang lebih baik. – TMI