Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah akan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi untuk menghentikan sementara persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau bertindak demikian kerana kurangnya maklumat diberikan dalam cadangan persempadanan semula pada 14 September lalu.
Maria, yang menetap di kawasan Petaling Jaya Utara (PJU) akan mengemukakan satu cabaran perlembagaan di kawasan beliau sendiri selepas mengumpulkan 100 tandatangan daripada pengundi PJU.
Beliau juga merancang memfailkan saman di mahkamah pada Jumaat ini.
Di bawah proses persempadanan semula, SPR turut mencadangkan kerusi baru, Damansara yang meliputi kerusi PJU sebelum ini dengan bilangan lebih 150,000 pengundi.
“SPR mesti menyedari kepentingan maklumat kawasan yang diberikan kepada kita (dalam cadangan itu),” katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersih di Petaling Jaya.
“Pelbagai alasan – hubungan tempatan, sempadan pentadbiran dan perwakilan yang sama – yang disebut oleh kami, bergantung kepada keluasan kawasan itu,” katanya.
“Kami tak boleh beritahu di mana sebenarnya sempadan, apa yang kita ada hanyalah anggaran. Tanpa maklumat ini, kita tidak akan tahu kesan persempadanan semula,” jelas beliau.
Maria berkata beliau mahu mahkamah menentukan sama ada persempadanan semula itu dilakukan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Perlembagaan menyatakan bahawa “bilangan pemilih dalam setiap kawasan di negeri sepatutnya lebih kurang sama”.
Sementara itu, bendahari BERSIH Thomas Fann menggesa orang ramai menggunakan 529 surat bantahan yang disediakan dan dimuat naik dalam talian untuk memfailkan bantahan mereka sendiri.
Inisiatif ini dilakukan petugas khas Bersih iaitu Pasukan Penyelidikan dan Tindakan Persempadanan (Dart).