Sejak kenaikan mendadak harga runcit petrol dan diesel bermula 1 Februari lalu, harga makanan di restoran dan gerai-gerai mula meningkat. Tinjauan Suara pakatan daily ke atas peniaga-peniaga tempat makan itu mendapati pengusaha memberi alasan terpaksa menaikkan harga kerana minyak dan minyak masak telah naik harga.
“Kebanyakan tempat makan di Segambut telah menaikkan harga sebanyak 50 sen. Laksa yang saya gemari dulunya RM6 telah menjadi RM6.50 pada tahun ini,” kata Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Segambut mengulas isu kenaikan tersebut.
Beliau berkata, kalau harga minyak terus meningkat, maka harga barang makanan di semua tempat makan dan harga ikan, sayur dan daging di pasar akan turut meningkat disebabkan kos pengangkutan.
Sebanyak 30 pengunjung yang ditemubual di pasar pagi Kepong Baru, Kuala Lumpur merakamkan kekecewaan mereka dengan kegagalan kerajaan mengawal harga minyak.
“Dulu apabila harga minyak di pasaran dunia sekitar AS$75 setong, harga minyak di negara kita RM2.30. Sekarang harga minyak di pasaran dunia di antara AS$55 hingga AS$58 setong tapi harga dalam negara sudah RM2.30.
“Bukankah ini menunjukkan bahawa ekonomi negara sudah berada di luar kawalan?” tanya seorang pesara, Patrick Hoh, 65 tahun yang dulunya bekerja sebagai pengurus di sebuah bank.
Semua pengunjung yang ditemubual meminta kerajaan menurunkan harga minyka. Mereka berpendapat adalah sia-sia jika kerajaan memaksa peniaga tidak menaikkan harga kerana mereka juga memperolehi stok jualan pada harga tinggi. Sebahagian yang ditemubual juga menjangkakan harga petrol RON95 boleh naik sehingga lebih daripada RM3 seliter pada tahun ini.
“Jika harga minyak dinaikkan lagi, rakyat miskin dan golongan berpendapatan rendah akan hidup sengsara.
“Kerajaan wajib kembalikan subsidi untuk minyak RON95 dengan serta-merta sebab harga RM2.30 pada masa kini sudah terlampau tinggi,” kata Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam.
Beliau yang juga pengarah komunikasi Amanah menggesa kerajaan melakukan sesuatu yang drastik untuk menurunkan harga minyak dbagi menghalang peningkatan inflasi .