Seorang Ahli Parlimen dari KEADILAN mengesa kerajaan memberi masa mencukupi kepada Ketua Pembangkang di Parlimen ketika sesi perbahasan bajet akan datang.
Hassan Abdul Karim berkata, ia bagi membolehkan pihak pembangkang diketuai Ismail Sabri Yaakob memberi hujah yang baik dan tidak sekadar mengheret perbahasan dengan isu-isu retorik yang tidak menguntungkan rakyat.
Jelasnya, ruang yang ada juga merupakan peluang yang baik buat pembangkang membuktikan kepada rakyat bahawa mereka dapat menjalankan tugas semak dan imbang kepada Kerajaan Pakatan Harapan dengan sebaik mungkin.
“Ini supaya parlimen bagi masa yang cukup untuk ketua pembangkang membahaskan belanjawaan negara.
“Sekurang-kurangnya seminggu untuk persiapan bagi ketua pembangkang boleh bahas dengan kualiti perbahasan yang tinggi berdasarkan fakta dan angka, bukannya retorik semata-mata,” kata Ahli Parlimen Pasir Gudang itu dalam satu kenyataan.
Menurutnya lagi, rakyat wajar menilai keupayaan Ismail Sabri pada sesi itu kerana Ketua Pembangkang merupakan institusi penting dalam sistem demokrasi seperti di negara-negara demokrasi maju yang lain.
Secara tradisi, belanjawan negara dibentangkan pada Jumaat minggu pertama sesi terakhir sidang Dewan Rakyat.
Bajet bagi tahun 2020 dijangka akan dibentangkan pada 11 Oktober depan.